Speaker Selangor teliti notis kekosongan kerusi DUN Selat Klang

Lau Weng San
Lau Weng San
A
A
A

SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San telah menerima notis bertulis kekosongan luar jangka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Weng San berkata, beliau akan meneliti notis tersebut dan keputusan akan dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya, mengikut Undang-Undang Negeri Selangor, keputusan itu perlu dibuat dalam tempoh 21 hari.

"Speaker perlu memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka tersebut dan memberitahu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dalam masa 21 hari daripada tarikh penerimaan notis bertulis itu," katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Weng San memaklumkan belum menerima sebarang surat lagi daripada mana-mana pihak berhubung status keahlian Abdul Rashid menyebabkan beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Lanjutan dari itu, pada Jumaat, Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis bertulis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang kepada Weng San di pejabatnya di Wisma DUN Selangor.

Mohamed Azmin berkata, penyerahan notis kekosongan kerusi itu dibuat menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Ujar Ketua Pembangkang DUN Selangor itu, tertakluk kepada peruntukan Perkara LXVA (1)(a) (ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, seseorang ADUN hendaklah terhenti dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker di bawah Fasal (3) jika ADUN terbabit tidak lagi menjadi anggota parti politik itu.

Artikel Berkaitan:

Mac lalu, Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi Bersatu Selangor membuat kejutan menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyebabkan keahliannya dalam Bersatu digugurkan.

Abdul Rashid berkata, keputusan tersebut dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!