Kerusi enam ahli Parlimen Bersatu kekal di blok pembangkang

Kedudukan ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri masih kekal di blok pembangkang pada Isnin.
Kedudukan ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri masih kekal di blok pembangkang pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedudukan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilucutkan keahliannya minggu lalu masih kekal di blok pembangkang.

Sidang Dewan Rakyat pada Isnin menyaksikan kerusi mereka masih dikekalkan di bahagian belakang blok E sejak pertukaran dan perubahan tempat duduk ahli Parlimen di Dewan Rakyat dikemas kini Parlimen, Mac lalu.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Sebelum ini, Bersatu yang diwakili Ketua Whip, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Notis berkenaan dikemuka susulan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu yang mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong di luar jangka.

Sementara itu Suhaili ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan menjelaskan, kedudukan mereka masih kekal di blok pembangkang sehingga ada keputusan yang diumumkan kelak.

"Selagi Speaker (Johari) tidak buat apa-apa keputusan, kami masih di blok ini (pembangkang)," katanya secara ringkas melalui WhatsApp.

Turut berada di bahagian sama dengan enam ahli Parlimen berkenaan ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!