[VIDEO] Sorok minuman keras di bawah timbunan tong biru
KOTA KINABALU - Taktik seorang lelaki meletakkan minuman keras di bawah timbunan 30 tong biru dalam sebuah lori untuk mengaburi mata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) gagal selepas kenderaan tersebut ditahan di Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, Kampung Novoung, Papar, baru-baru ini.
Dalam serbuan itu, minuman keras bernilai RM350,000 termasuk cukai dirampas dan lelaki berusia 43 tahun bertindak sebagai pemandu turut ditahan pada 12 Jun lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan itu dibuat pada jam 10 malam 12 Jun lalu selepas pihaknya mendapat maklumat berhubung kegiatan tersebut.
"Pasukan serbuan telah menahan dan memeriksa sebuah lori yang membawa muatan 30 tong biru yang disusun di permukaan atas muatan lori.
"Hasil pemeriksaan lanjut muatan lori tersebut menemui 2,500 karton minuman keras berlabel duti tidak berbayar (MDNP) pelbagai jenama yang disusun dan diletakkan di bawah timbunan tong biru tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam di sini pada Isnin.
Katanya lagi, hasil siasatan mendapati minuman keras tersebut dibawa dari Labuan ke Kota Kinabalu dengan menggunakan lori tersebut.
"Modus operandi kes ini adalah dengan menyembunyikan barang tidak berkastam bagi tujuan penyeludupan dari Labuan untuk dihantar ke Kota Kinabalu.
"Susulan daripada itu, jumlah keseluruhan rampasan termasuk minuman keras berserta cukai dan juga lori adalah sebanyak RM421,223," katanya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengangkut barang tidak berkastam untuk mengelak daripada membayar cukai.
"Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda jumlah duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar atau dipenjara tidak kurang dari enam bulan atau tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!