'Cikgu Joohari mampu beri yang terbaik bantu masyarakat setempat'

Joohari. Foto Bernama
Joohari. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Benar kata pepatah, orang hebat dapat melahirkan karya yang bermutu, tetapi guru yang bermutu dapat melahirkan ribuan orang hebat.

Mungkin itulah gambaran tepat mengenai perwatakan dan keperibadian calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin yang dikongsi oleh bekas pelajarnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nibong Tebal (kini dikenali SMKA Sheikh Abdullah Fahim).

Mengimbas kenangan menjadi anak didik Joohari semasa di Tingkatan 2 di sekolah itu pada 1997, Nor Asyikin Abdullah, 41, berkata, beliau masih ingat kerja keras Cikgu Joohari mendidik dirinya dan rakan-rakan sekelas dalam mata pelajaran matematik dan pada masa sama menjadi warden asrama sekolah pada waktu malam.

Nor Asyikin menyifatkan Joohari sebagai seorang yang lembut dalam percakapan, tidak pernah melenting dan sabar dalam mendidik pelajar-pelajarnya, malah disebabkan terinspirasi dengan perwatakan serta pengajaran Joohari, beliau kini turut menjadi seorang guru matematik di Sekolah Kebangsaan Sungai Burong di Kuala Kurau, Perak.

Joohari beramah mesra bersama pengamal media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap, Simpang Ampat. Foto Bernama
Joohari beramah mesra bersama pengamal media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap, Simpang Ampat. Foto Bernama

"Kerana perwatakannya itu, ramai daripada kami berasa senang dengannya kerana dia bukan sahaja mampu mengajar pelajarnya menjadi pemforum dan pendebat terbaik, malah turut dijadikan idola kerana pengajarannya tidak tertumpu pada satu bidang saja tetapi pelbagai.

"Walaupun guru matematik, kami memanggilnya ustaz kerana dia selalu memberi nasihat agama sewaktu kami semua berada di surau atau di mana-mana perjumpaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Joohari di Taman Sungai Kechil di sini, semalam.

Anak jati Sungai Bakap itu berkata, semasa menjadi warden sekolah, Joohari menjaga pelajar seperti anaknya sendiri dan prihatin dengan aspek kebajikan mereka.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar, 40, yang juga pernah dididik oleh calon PH itu di sekolah sama berkata Joohari telah memberikan ‘lebih daripada apa yang sepatutnya’ sebagai guru dan warden ketika berkhidmat.

"Kadang-kadang ada perkara yang dibuat adalah di luar bidang kuasanya seperti sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membeli peralatan sekolah buat pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan.

"Kalau dia nampak ada pelajar duduk berseorangan seperti mengalami masalah, dia akan cepat-cepat mendekati mereka, memahami permasalahan berlaku agar kami tidak terbawa-bawa dengan emosi hingga menjejaskan pelajaran,” katanya yang kini bekerja sebagai seorang pegawai di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Sehubungan dengan itu, kedua-dua bekas pelajar Joohari ini percaya jika beliau diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu, Joohari akan memberikan yang terbaik untuk membantu masyarakat setempat, seperti mana beliau pernah berjasa kepada bekas pelajarnya sendiri.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional (PN), dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!