PRK Sungai Bakap: SPR keluarkan 128 undi pos

Kertas undi pos yang dikeluarkan terdiri daripada 120 undi pos Kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya dan anggota polis, lima undi pos bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara serta tiga undi pos bagi Kategori 1C iaitu agensi dan organisasi. - Gambar hiasan
Kertas undi pos yang dikeluarkan terdiri daripada 120 undi pos Kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya dan anggota polis, lima undi pos bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara serta tiga undi pos bagi Kategori 1C iaitu agensi dan organisasi. - Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 128 kertas undi pos kepada mereka yang berhak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.

Menurutnya, kertas undi pos yang telah dikeluarkan terdiri daripada 120 undi pos Kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya dan anggota polis, lima undi pos bagi Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara serta tiga undi pos bagi Kategori 1C iaitu agensi dan organisasi.

"Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK telah dikeluarkan kertas undi pos, oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 2 Julai nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 6 Julai depan.

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut dan SPR menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap.

Dua calon bakal berentap dalam PRK kali ini membabitkan pertandingan dua penjuru iaitu Dr Joohari Ariffin daripada Kerajaan Perpaduan (PKR) dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail daripada Pas.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.