Tidak boleh hentikan solat fardu sewenang-wenangnya tanpa kecemasan, keuzuran

APA jua solat fardu yang sedang didirikan tidak boleh dibatalkan tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak dan kecemasan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
APA jua solat fardu yang sedang didirikan tidak boleh dibatalkan tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak dan kecemasan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

SEBELUM menunaikan solat fardu, sebaiknya pastikan diri dalam keadaan tenang dan selesa supaya kita boleh fokus untuk mengerjakan kewajipan itu.

Bukan apa, adakalanya terdapat individu dilihat terlalu tergopoh-gapah untuk menghadap ALLAH sehinggakan terlupa membuka kipas atau menutup televisyen sebelum memulakan ibadah berkenaan.

Ketika sedang mendirikan solat, berlaku banyak ‘gangguan’ disebabkan panas dan keadaan bising di sekelilingnya. Maka, ‘jalan’ terakhir, ada orang membatalkan solat gara-gara mahu membuka kipas atau menutup televisyen.

Ketahuilah bahawa kedua-dua alasan itu sama sekali tidak boleh menjadi ‘tiket’ untuk seseorang membatalkan sembahyang yang dikerjakannya.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, sama ada membuka kipas mahupun penyaman udara ataupun menutup televisyen, ketiga-tiga perkara itu belum lagi mencapai tahap darurat atau kecemasan hingga membolehkannya untuk membatalkan solat fardu yang dikerjakannya.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Beliau berhujah, para ulama membezakan keadaan orang yang ingin menghentikan solat dengan melihat sudut sama ada ia merupakan sembahyang fardu ataupun sunat dan ia disebabkan oleh uzur syarie ataupun bukan.

Artikel Berkaitan:

Jika melibatkan solat fardu lima waktu, katanya, haram hukumnya seseorang yang tanpa uzur syarie membatalkan solatnya.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kepada Rasul ALLAH dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!” (Surah Muhammad: 33)

“Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, disebut bahawa membatalkan ibadah wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak dibolehkan dengan sepakat para fuqaha.

“Ini kerana berbuat demikian merupakan satu perbuatan sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat,” tegasnya sebagaimana dipetik menerusi artikel #5810: Menghentikan Solat untuk Membuka Kipas/ Penghawa Dingin di laman web Maktabah Albakri.

Pun demikian dalam keadaan kecemasan dan terdesak seperti menyelamatkan diri atau orang lain daripada bahaya misalnya, maka Dr Zulkifli berkata, dibolehkan untuk kita membatalkan ibadah dilakukan.

Ia berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebut ‘keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram’.

DIBOLEHKAN membatalkan solat fardu dikerjakan jika tujuannya mahu mengejutkan orang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
DIBOLEHKAN membatalkan solat fardu dikerjakan jika tujuannya mahu mengejutkan orang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Selain itu, kitab tersebut turut menyebut, antara sebab yang dibolehkan oleh syarak untuk membatalkan solat didirikan adalah seperti untuk membunuh ular atau menyuruh orang lain untuk membunuh ular; khuatir kehilangan harta benda berharga sama ada harta sendiri atau orang lain dan menyelamatkan orang yang meminta pertolongan.

“Termasuk juga dalam sebab yang dibenarkan syarak adalah mengejutkan orang yang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja,” terangnya panjang lebar.

Bukan itu sahaja, agamawan tersebut menjelaskan, orang yang hendak diselamatkan tadi termasuklah golongan bukan Islam yang dihormati darahnya.

“Begitu juga wajib untuk menyelamatkan orang yang lemas atau terbakar, menurut kitab Kassyaf al-Qina’. Tidak kiralah sama ada ia melibatkan solat fardu sunat atau fardu walaupun waktunya telah singkat.

“Ini kerana ia boleh diganti dengan qada (solat), berbeza halnya dengan orang yang lemas dan seumpamanya. Sekiranya seseorang enggan membatalkan solatnya untuk menyelamatkan orang lemas itu, maka dia dikira sebagai berdosa,” katanya.

SESEORANG yang sedang mendirikan solat fardu boleh menghentikannya untuk menyelamatkan orang yang lemas atau terbakar. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
SESEORANG yang sedang mendirikan solat fardu boleh menghentikannya untuk menyelamatkan orang yang lemas atau terbakar. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Seandainya ia hanya melibatkan solat sunat, Dr Zulkifli menjelaskan, para ulama memberikan kelonggaran dan mengharuskan seseorang untuk membatalkan sembahyang sunat disebabkan oleh keperluan (hajat).

“Jika seseorang sedang mendirikan solat sunat, maka dia dibolehkan untuk menghentikan solatnya bagi perkara-perkara yang penting termasuklah menutup televisyen kerana bunyi bising atau membuka kipas disebabkan panas.

“Ditambah pula kedua-dua perkara itu boleh mengganggu fokus dan kekhusyukan solat seseorang,” katanya.

Begitupun, agamawan itu mengesyorkan agar sebaik-baiknya kita menyempurnakan solat dikerjakan terlebih dahulu sebelum melakukan perbuatan tersebut.

MEMBATALKAN ibadah wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak dibolehkan dengan sepakat para fuqaha. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
MEMBATALKAN ibadah wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak dibolehkan dengan sepakat para fuqaha. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Ia supaya kita dapat menjaga kehormatan solat dan tidak mempermain-mainkan ibadah,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!