Pakaian rasmi kontinjen negara ambil kira konsep rekaan terkini

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah), Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) dan Timbalan CDM, Datuk Nicol Ann David (kanan) bergambar bersama pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Paris. Foto Bernama
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah), Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) dan Timbalan CDM, Datuk Nicol Ann David (kanan) bergambar bersama pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Paris. Foto Bernama
A
A
A

PAKAIAN rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan dibangunkan dengan mengambil kira konsep rekaan terkini walaupun berdepan kekangan tertentu, menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Beliau berkata, pemilihan pakaian rasmi itu dibuat selepas MOM dan pihak penaja berbincang dan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kos yang perlu dikeluarkan.

"Sebenarnya kita tertakluk kepada apa yang penaja boleh berikan dalam keadaan pengehadan tertentu dan ia (juga) bergantung dengan bajet. Kalau nak terbaik atau premium, itu menjadi faktor kos kepada penaja jadi ia perlu dipertimbangkan.

"Ini bukan peruntukan daripada kerajaan atau wang daripada siapa-siapa, tetapi ihsan daripada penaja,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.

Pada Jumaat, pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan berupa baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Bagaimanapun, rata-rata peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nazifuddin berkata, rekaan terbaharu itu akan digunakan buat kali pertama semasa temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas pemegang taruh, atlet dan pegawai sukan berhubung reaksi yang diterima mengenai pakaian berkenaan.

"Untuk sementara ini, pakaian rasmi itu akan digunakan kontinjen ke Paris tetapi pakaian untuk upacara pembukaan berbeza, pakaian rasmi ini cuma untuk digunakan sewaktu temasya dalam perjalanan ke venue pertandingan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi ciapan di X menjelaskan pakaian rasmi terbaharu kontinjen negara yang dilancarkan semalam adalah di luar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke temasya pelbagai sukan adalah di bawah tanggungjawab MOM. Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex dan MOM dan ia di luar bidang kuasa KBS dan MSN,” katanya.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!