Lapan lelaki didakwa pukul, paksa tiga remaja sertai kongsi gelap

Jian Yau mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin.
Jian Yau mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lapan lelaki yang juga ahli kumpulan sebuah kongsi gelap dihadapkan ke mahkamah pada Isnin atas pertuduhan mencederakan tiga remaja dipercayai enggan menyertai geng mereka, dua minggu lalu.

Seorang tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru manakala tujuh lagi remaja berusia 15 tahun hingga 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Juvana.

Tertuduh, Lim Jian Yau, 20, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tiga pertuduhan mencederakan tiga remaja berusia 15 tahun berkenaan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Samsudin.

Jian Yau dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul tiga remaja dengan menggunakan tangan dan kakinya.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak belakang taman permainan Taman Mutiara Rini, Skudai, kira-kira jam 8 malam, pada 15 Jun lalu.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh didenda RM1,400 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar denda boleh dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin manakala tertuduh diwakili, Jason Tan Ka Yan dan Mohamed Imran Mohamed Sam.

Mengikut fakta kes, tiga mangsa berusia 15 tahun itu berada di sebuah pusat belah-belah di Skudai sebelum didatangi 10 remaja yang memaksa mereka menyertai sebuah kumpulan kongsi gelap.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa enggan menyertai kumpulan kongsi gelap itu sebelum dipaksa menaiki sebuah kereta sebelum dipukul dan dicederakan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Juvana, tujuh lagi remaja ahli kongsi gelap menghadapi sembilan pertuduhan kerana mencederakan dan menggunakan kekerasan jenayah.

Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mereka didakwa mencederakan tiga remaja yang sama dengan memukul mereka, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketujuh-ketujuh remaja itu juga didakwa menggunakan kekerasan dengan mencabul kehormatan tiga mangsa yang sama, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Mereka turut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas remaja berkenaan menggunakan senjata iaitu batang PVC yang boleh menyebabkan kematian, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tujuh remaja berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di belakang gelanggang futsal Taman Keindahan, Skudai, kira-kira 7 malam, 15 Jun lalu.

Kesalahan berkenaan boleh menyebabkan mereka dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau menjalani perintah masyarakat atau membayar denda atau bon berkelakuan baik dengan syarat dikenakan mahkamah atau dilepaskan dengan amaran.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Musa dan diwakili peguam Jason Tan Ka Yan dan Mohamed Imran Mohamed Sam.

Majistret memerintah setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 seorang selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen pada 29 Julai depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!