[VIDEO] Bekas pensyarah antara lapan ditahan disyaki terlibat Daesh

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas pensyarah universiti di negara ini antara lapan warga tempatan yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kesemua suspek turut mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan- lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional terpelajar.

Saifuddin (tengah) ketika sidang akhbar khas di Kementerian Dalam Negeri pada Isnin.
Saifuddin (tengah) ketika sidang akhbar khas di Kementerian Dalam Negeri pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Penahanan enam lelaki dan dua wanita yang disyaki terkait dengan elemen Daesh adalah tangkapan susulan daripada operasi sebelumnya pada 15, 17 Mei 2024 dan 30 Mei 2024," katanya ketika sidang akhbar khas di Kementerian Dalam Negeri di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Seri Razarudin Husain dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Sementara itu ditanya sama ada tangkapan terbaharu itu mempunyai kaitan dengan ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Mei lalu, Saifuddin tidak menyatakannya secara jelas.

Menurutnya, PDRM melalui Bahagian Anti-pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sentiasa menggerakkan operasi bagi menangani jenayah tersebut.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti peranan kesemua suspek dan sebarang perkembangan terbaharu akan dikongsikan nanti," katanya.

Sinar Harian pada 17 Jun lalu melaporkan, lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim itu, tertuduh Radin Imran Radin Mohd Yasin, 62, menyatakan tidak memahami pertuduhan pertama iaitu menggalak dan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait Islamic State (IS), dibacakan jurubahasa.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera akibat tembakan di bahu kiri dan pinggul berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!