Harimau: Perhilitan Kelantan pasang kamera pemantauan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TANAH MERAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memasang kamera pemantauan di sekitar Bukit Layang-layang, Kelewek, di sini, selepas beberapa penduduk kampung mendakwa telah mendengar ngauman harimau, di samping menjumpai kesan tapak kaki dipercayai haiwan itu.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, kamera berkenaan dipasang di sekitar kawasan kesan tapak kaki haiwan liar berkenaan dijumpai hari ini.

Beliau berkata, kemungkinan besar haiwan itu memang ada melalui kawasan berkenaan, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah harimau belang atau harimau kumbang.

"Kami pasang kamera bagi mengesahkan spesies haiwan itu, sebelum memasang sebarang perangkap. Proses pemasangan perangkap mengambil masa lama kerana sangkar yang bersaiz besar, selain memerlukan siasatan anggota Perhilitan terlebih dahulu," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Sementara itu, seorang penoreh getah, Rashid Junoh, 64, berkata, dia mendengar ngauman itu semasa sedang melakukan kerja-kerja membaiki rumahnya pada 9 pagi semalam.

"Saya bersama isteri dengar dua kali ngauman kuat haiwan itu, lalu saya bergegas ke belakang rumah dan nampak kesan tapak kaki haiwan itu di atas pasir hanya dua meter dari rumah saya,” katanya ketika ditemui Bernama pada Isnin.

Rashid berkata, ini merupakan pertama kali dia mendengar ngauman haiwan itu sejak lebih 20 tahun menetap di kawasan berkenaan, dan dia serta isterinya kini tidak berani keluar menoreh getah kerana bimbang diserang haiwan buas itu.

Sementara itu, penghulu Mukim Bechah Laut, Rohana Samat, 50, pula berkata, dia berharap agar pihak berkaitan segera ambil tindakan kerana haiwan liar itu berisiko mengancam nyawa terutama kepada pekebun.

Artikel Berkaitan:

"Buat sementara waktu ini, saya minta penduduk kampung untuk mengambil langkah berhati-hati apabila berada di kebun, pencari burung dan ayam hutan juga dinasihatkan tidak memasuki hutan dalam tempoh ini," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!