Kerajaan sedang kenal pasti dalang, 'penderhaka' bantu kumpulan Sulu

Azalina ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
Azalina ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengenal pasti dalang dan ‘penderhaka’ dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong dan membantu kumpulan Sulu membuat tuntutan ke atas Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa dalang itu merupakan penggerak dan pemberi maklumat kepada kumpulan terbabit.

"Kita dalam proses untuk cari mereka kerana kita dapat berita mereka inilah jadi penggerak yang membantu tuntutan sedemikian dan yang memberi maklumat sebenarnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) yang ingin tahu langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan tiada lagi tuntutan lain daripada kumpulan Sulu.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai perancangan konkrit kerajaan dalam memastikan tuntutan itu tidak berlarutan, Azalina berkata, beliau secara prinsip bersetuju isu berkenaan perlu dinoktahkan, namun dalam masa sama menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

"Saya pun kadang-kadang terfikir - ada ke yang kita boleh lakukan lagi.. sebab selepas ini, apa pula yang akan berlaku, kita tak tahu, bukan sahaja Sabah dan Sarawak mungkin sahaja di Semenanjung, banyak orang yang boleh menuntut sebab kita negara yang banyak sejarah.

"Kita kena tentukan bahawa apa pun strategi mesti dilakukan, dan hari ini bagi pihak kerajaan kita nak menentukan bahawa mereka yang menganiaya kerajaan Malaysia ini perlu disaman, memberi bayaran balik setimpal kepada segala kos-kos yang dibiayai oleh kerajaan dan kes ini bermula 2019. Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita mewarisi (kes ini) dan mesti membela maruah negara dan hak kita iaitu Malaysia,” katanya.

Menjawab soalan asal William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai status kemajuan terkini kes tuntutan kumpulan Sulu, Azalina berkata, pada 15 Mei lepas, Mahkamah Rayuan Madrid mengekalkan sabitan kesalahan menghina mahkamah terhadap penimbang tara Sulu Gonzalo Stampa, dalam kes tuntutan pihak mengaku waris Sulu ke atas Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!