Kem perlindungan di Gaza sumbangan rakyat Malaysia dibom Israel
JOHOR BAHRU - Seorang pelarian wanita maut manakala lima lagi cedera parah selepas kem perlindungan di An Nusairat, tengah Gaza, Palestin yang dibina hasil sumbangan rakyat Malaysia dibom Israel pada 11 Jun lalu.
Menurut Pengurus Besar Pasar Econsave, Mas Imran Adam, kejadian tersebut mengakibatkan sebahagian besar khemah musnah sementara yang lainnya koyak, bocor serta rosak teruk.
Selain itu, infrastruktur asas dalam kawasan khemah antaranya surau, tandas, lampu serta saluran pembuangan dan kumbahan dengan kos RM250,000 turut musnah.
"Berdasarkan tinjauan dan siasatan dilakukan Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Sahida, bukan sahaja khemah terbakar tetapi juga barang keperluan lain seperti makanan, selimut, pakaian dan meja.
"Turut menjadi bedilan tentera zionis ialah kemudahan antaranya seperti tangki air, telaga air, tandas, parit dan lampu," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Friendship Shelter Camp 2 diusahakan dan dikendalikan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) serta sumbangan Pasaraya Econsave itu menempatkan 58 buah khemah yang diduduki 95 keluarga semuanya merupakan pelarian perang dari Gaza.
Dalam pada itu, Mas Imran berkata, pihaknya sedih apabila mengetahui keadaan tersebut dan sehingga kini penghuninya masih tinggal di kem perlindungan tersebut walaupun sudah dibom dan banyak kemudahan asas sudah rosak.
Sehubungan itu, pihaknya menyumbang 30 khemah dengan kos RM120,000 termasuk tilan, bantal dan selimut manakala khemah dan kemudahan selebihnya sumbangan rakyat Malaysia.
"Apa yang menyedihkan terdapat ramai keluarga yang masih tinggal dan meneruskan kehidupan di kem perlindungan ini yang baru dibuka pada 27 Mei lalu. Mereka tiada tempat untuk dituju selepas sebelum ini rumah mereka di Gaza musnah dibom Israel.
"Keperluan mendesak masih diperlukan seperti makanan, minuman dan penempatan sementara bagi mereka meneruskan kehidupan.
"Keadaan bertambah teruk dengan serangan tanpa henti rejim zionis dan penutupan sempadan Rafah. Harga makanan dan minuman sangat terhad Serra semua harga barang semakin meningkat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!