Dua ditahan baling batu ke arah bas penyokong Perak FC

Tangkap layar kekecohan selepas kejadian baling batu ke atas bas membawa penyokong Perak FC oleh dua individu pada Ahad. Gambar kecil: Shahrulnizam
Tangkap layar kekecohan selepas kejadian baling batu ke atas bas membawa penyokong Perak FC oleh dua individu pada Ahad. Gambar kecil: Shahrulnizam
A
A
A

PETALING JAYA - Dua lelaki ditahan gara-gara membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong Perak di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dekat sini pada Ahad.

Kejadian berlaku selepas perlawanan bola sepak Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya yang berkesudahan memihak pasukan tuan rumah dua gol berbalas satu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 8.49 malam.

Menurutnya, suspek berusia 17 dan 20 tahun itu bertindak membaling batu ke arah bas terbabit yang sedang menghala ke arah utara.

Kesan kerosakan pada bas yang membawa penyokong Perak selepas dibaling batu dua individu di Lebuhraya NKVE, pada Ahad.
Kesan kerosakan pada bas yang membawa penyokong Perak selepas dibaling batu dua individu di Lebuhraya NKVE, pada Ahad.

"Bas berkenaan mengalami keretakan di beberapa bahagian cermin.

"Suspek kemudiannya telah ditahan orang awam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Shahrulnizam berkata, salah seorang suspek merupakan pelajar di sebuah institut pengajian vokasional manakala seorang lagi sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kedua-dua mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka negatif penggunaan dadah dan alkohol,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan dan tidak terlibat dengan sebarang pelanggaran undang-undang dan sebarang maklumat berkait perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222

Pada Ahad, kecoh di media sosial apabila terdapat dakwaan insiden dipercayai membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya NKVE.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!