'Saya tiada sahabat dalam industri' - Miley Cyrus
PENYANYI dan pelakon popular, Miley Cyrus mendedahkan tidak mempunyai sahabat dalam industri hiburan.
Perkara itu diceritakan bintang berusia 31 tahun itu ketika menjadi tetamu dalam siri Netflix, 'My Next Guest Needs No Introduction with David Letterman'.
Jelas pemilik nama penuh Miley Ray Cyrus itu, dia lebih selesa berada dalam lingkungan keluarga dan mengelak daripada menjadi tumpuan, selain urusan kerja.
"Saya tidak begitu aktif atau berada dalam sebahagian besar daripada komuniti artis, penghibur dan selebriti. Saya juga tidak berminat untuk memulakan sesi perkenalan baru.
"Apabila berada bersama dalam satu bilik, saya berasa mereka bukan seperti orang yang saya kenali," katanya.
Bagaimanapun, momen itu tidak dilalui ketika dia bersama Beyonce dan mengakui sudah lama mengenali penyanyi berusia 42 tahun itu.
Cyrus juga sempat mengimbau kembali detik istimewa dalam kerjayanya apabila berpeluang membuat persembahan di samping Beyonce, Rihanna, Mariah Carey, Fergie, Carrie Underwood, Nicole Scherzinger, Mary J. Blige, Leona Lewis, Keyshia Cole dan ramai lagi dalam Stand Up to Cancer 2008, ketika dia masih remaja.
"Saya seperti diapit dua ratu - Bey (panggilan buat Beyonce) dan Rihanna, mereka sangat cantik dan tinggi.
"Manakala saya sangat kecil, dengan jerawat, mempunyai pendakap gigi, tetapi mereka semua baik terhadap saya," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!