Netanyahu masih belum puas berperang

Kebanyakan struktur di Khan Yunis, selatan Gaza musnah dibedil. Foto AFP
Kebanyakan struktur di Khan Yunis, selatan Gaza musnah dibedil. Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - “Pertempuran sengit di bandar selatan Rafah hampir berakhir.”

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika wawancara bersama rangkaian Channel 14 pada Ahad tanpa memberikan garis masa jelas.

“Ia tidak bermakna perang ke atas Genting Gaza akan berakhir. Hanya kempen pengeboman di Rafah akan ditamatkan tidak lama lagi. Selepas fasa itu tamat, pasukan tentera kami akan ditempatkan semula ke utara untuk tujuan pertahanan,” ujarnya.

Pemimpin 'ekstremis' itu yang berdepan tekanan protes mega mingguan di Tel Aviv juga dengan angkuh menyatakan beliau tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian termasuk gencatan senjata kekal yang menjadi tuntutan utama pejuang Hamas menerusi siri rundingan sebelum ini.

“Matlamat utama kami adalah untuk membawa pulang baki tawanan dan melenyapkan Hamas di Gaza,” katanya.

Ketika disoal tentang senario pasca perang di Gaza, Netanyahu juga memaklumkan Israel akan mengekalkan kawalan ketenteraan di enklaf tersebut pada masa depan.

“Kami mahu menubuhkan pentadbiran awam bersama penduduk Palestin dan meraih sokongan serantau untuk menguruskan bekalan bantuan kemanusiaan dan hal ehwal orang awam di Gaza,” tambahnya lagi.

Difahamkan, cadangan tersebut pernah dikemukakan kepada barisan menteri Israel pada Februari lalu, namun ditolak sekeras-kerasnya oleh Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) malah mencetuskan amaran sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) berhubung tindakan pendudukan semula ke atas Gaza.

Artikel Berkaitan:

Pada awal bulan lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa Rafah yang menjadi tempat perlindungan lebih sejuta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal sebagai 'kubu kuat terakhir' Hamas.

Rejim Zionis kemudiannya mara ke bandar paling selatan itu bersama unit kereta kebal setelah merampas kawalan di lintasan sempadan dan mencetuskan pertempuran sengit yang berlarutan hingga kini. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!