Korban kebakaran kilang bateri Korea Selatan meningkat 20 orang

Anggota penyelamat membawa keluar mayat mangsa kebakaran di kilang bateri litium di Hwaseong pada Isnin. Foto AFP
Anggota penyelamat membawa keluar mayat mangsa kebakaran di kilang bateri litium di Hwaseong pada Isnin. Foto AFP
A
A
A

SEOUL - Kira-kira 20 mayat telah ditemukan di tapak kebakaran kilang bateri litium di Hwaseong, selatan Seoul pada Isnin, kata pihak bomba.

Mangsa yang meninggal dunia dipercayai antara 23 orang yang tidak dapat dikesan dalam kebakaran itu, di tengah-tengah kebimbangan jumlah kematian akan terus meningkat.

Menurut pihak bomba, daripada 23 orang yang hilang dalam kebakaran itu, 20 dipercayai warga asing, termasuk warga China.

Jumlah itu tertakluk kepada perubahan kerana senarai harian pekerja sepenuh masa dan sambilan telah musnah.

Anggota bomba di tapak kebakaran sebuah kilang bateri litium di Hwaseong pada Isnin. Foto AFP
Anggota bomba di tapak kebakaran sebuah kilang bateri litium di Hwaseong pada Isnin. Foto AFP

Kebakaran yang bermula di kilang pengeluar bateri litium Aricell di Hwaseong, 45 kilometer di selatan Seoul, sekitar 10.30 pagi, berjaya dikawal sekitar 3.10 petang. Selepas itu, pihak bomba memasuki kilang dan menemukan mayat-mayat berkenaan.

Terdahulu dalam insiden itu, dilaporkan seorang pekerja meninggal dunia selepas dibawa ke hospital akibat serangan jantung manakala seorang lagi cedera parah dan dua mengalami kecederaan ringan.

Kebakaran itu yang belum lagi dapat disahkan puncanya dilaporkan bermula di bangunan tiga tingkat berstruktur konkrit bertetulang yang mempunyai keluasan lantai kira-kira 2,300 meter persegi.

Artikel Berkaitan:

Kebakaran dilaporkan bermula di bangunan tiga tingkat berstruktur konkrit bertetulang yang mempunyai keluasan lantai kira-kira 2,300 meter persegi. Foto AFP
Kebakaran dilaporkan bermula di bangunan tiga tingkat berstruktur konkrit bertetulang yang mempunyai keluasan lantai kira-kira 2,300 meter persegi. Foto AFP

Seorang saksi yang menyelamatkan diri dari tingkat dua kilang itu memberitahu Balai Bomba Hwaseong bahawa pembakaran bahan letupan berlaku dalam satu sel bateri semasa kebakaran.

Balai bomba itu melaporkan api merebak dengan pantas kerana sel bateri di dalamnya meletup secara berterusan, menyukarkan penyelamat untuk memasuki kilang dan mencari mangsa.

Sekurang-kurangnya 35,000 bateri dipercayai berada di dalam kilang berkenaan.

Kerajaan mengadakan mesyuarat kecemasan di Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat pada sebelah petang untuk membincangkan langkah mengurangkan korban daripada bencana itu.

Pada mesyuarat itu, Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Lee Sang-min meminta semua agensi kerajaan dan kerajaan tempatan yang berkaitan untuk menggerakkan semua sumber dan kakitangan yang ada bagi memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa mengikut arahan Presiden Yoon Suk Yeol.- Bernama-Yonhap

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!