MBI giat tarik pelancong China

Rumaizi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan-rakan strategik MBI sempena Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro Media 2024 di sebuah hotel di Ipoh pada Isnin.
Rumaizi (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan-rakan strategik MBI sempena Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro Media 2024 di sebuah hotel di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang giat membangunkan beberapa produk pelancongan sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong dari negara China susulan pelaksanaan pengecualian visa yang diumumkan baru-baru ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, terdapat produk-produk yang dalam pembinaan selain daripada produk pelancongan sedia ada termasuklah Studio Seni Digital dan Dewan Persembahan yang baru siap.

Menurutnya, beberapa produk baharu juga akan diperkenalkan yang dilihat sesuai untuk menarik pelancong dari negara China.

"Mungkin tahun depan kita akan laksanakan dan juga beberapa produk berkaitan ekopelancongan. Tasek Cermin dan Gunung Lang kita akan naik taraf serta pelbagai lagi.

"Peringkat sekarang ini kita dalam penyediaan produk. Kalau tiada aral melintang, awal tahun depan boleh kita perkenalkan. Pasaran pelancong China memang sesuai sebab kita ada produk baharu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro Media 2024 di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee bahawa kerajaan Perak mempergiatkan usaha meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri itu selepas Malaysia dan China melaksanakan pengecualian visa dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Rumaizi (tengah) bersama-sama rakan strategik MBI yang hadir sempena Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro Media 2024 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Rumaizi (tengah) bersama-sama rakan strategik MBI yang hadir sempena Majlis Ramah Mesra Datuk Bandar Ipoh Bersama Ketua Biro Media 2024 di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Sementara itu, mengenai isu Penduduk Kampung Batu Baru Menglembu Timur, Rumaizi berkata, isu berkenaan bukan di bawah tanggungjawab MBI kerana kawasan tersebut belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Batu Baru Menglembu Timur di sini memohon keprihatinan kerajaan negeri apabila kehidupan mereka masih dibelenggu masalah kemudahan asas termasuk bekalan air sejak enam tahun lalu.

Sejak penempatan itu diwujudkan, kemudahan seperti akses jalan raya, bekalan air paip dan saliran longkang tidak tersedia mengakibatkan mereka berasa terpinggir seperti hidup di kawasan setinggan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!