Isu BlackRock: Kerajaan patut lebih sensitif, kata Nazifuddin

Hantaran di Facebook Nazifuddin pada Isnin.
Hantaran di Facebook Nazifuddin pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan membenarkan syarikat pro-Israel, BlackRock untuk memiliki saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak selari dengan perjuangan asal negara ini terhadap kemerdekaan Palestin.

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, perkembangan itu juga tidak menunjukkan suara Malaysia yang sebenar di peringkat dalaman dan antarabangsa.

Beliau yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyifatkan tindakan 'flip flop' kerajaan itu cukup meloyakan.

"Kita juga sedia maklum dengan dunia yang tanpa sempadan. Secara logiknya, membenarkan musuh berada di dalam negara secara tak langsung, mereka diberikan kebenaran untuk mengeksploitasikan maklumat kerahsiaan negara.

"Kerajaan seharusnya lebih sensitif dengan isu keselamatan negara daripada mementingkan transaksi menguntungkan untuk seketika dan tanpa sedar meletakkan negara ini dalam bahaya.

"Sejujurnya saya merasakan bahawa, tiada nilai yang boleh dipertaruhkan untuk keselamatan negara dan rakyat yang bernaung di bawahnya," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Kontroversi BlackRock timbul apabila pemimpin pembangkang dan parti kerajaan mendesak supaya dihentikan penjualan saham MAHB kepada anak syarikat firma tersebut, Global Infrastructure Partners (GIP).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock memiliki pegangan dalam MAHB.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Nazifuddin berkata, tindakan meluluskan proses pemilikan saham MAHB kepada BlackRock seperti membenarkan musuh masuk ke rumah sendiri.

"Tindakan ini seperti juga menggadaikan maruah yang kita jaga dengan penuh adab dan susila daripada musuh nyata yang selama ini kita pertahankan semenjak kita merdeka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!