Hilang sejak pagi, warga emas ditemui lemas di Tasik Biru Chin Chin
JASIN - Mayat seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak pagi tadi ditemukan lemas di Tasik Biru Chin Chin di sini, pada malam Isnin.
Mayat Jamaludin Abdul Hamid, 68, dari Kampung Chenderah di sini, ditemukan terapung pada jam 9.18 malam, kira-kira enam meter dari lokasi seliparnya ditemui.
Penolong Pengarah Operasi negeri, Penguasa Bomba ll, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7 malam mengenai warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan berkenaan.
Menurutnya, setiba di lokasi mendapati penduduk kampung bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menemui sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dan selipar dipercayai milik mangsa di tepi tasik.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak polis, mangsa yang dipercayai mengalami kemurungan telah keluar rumah sejak jam 9 pagi dan menuju ke tasik itu.
"Operasi pencarian dimulakan di sekitar tasik bersama unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan mangsa dijumpai terapung di tasik sebelum kerja-kerja menaikkan mangsa ke darat dilakukan.
"Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Tasik Biru Chini Chin di sini pada Isnin.
Tambahnya, operasi yang ditamatkan pada jam 10.02 malam turut dibantu anggota Pertahanan Awam Malaysia Daerah Jasin.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Chin Chin, Jasmi Ketol berkata, lebih 30 penduduk kampung membantu dalam operasi mencari mangsa selepas warisnya gagal mengesan keberadaan mangsa.
Menurutnya, mangsa yang tinggal sendirian dipercayai mengalami kemurungan sejak kematian isterinya lima tahun lalu.
"Difahamkan waris keluarga mula mengesan mangsa selepas dia gagal dihubungi dan selalunya pada waktu petang mangsa akan memasukkan ayam ternakannya dalam reban, namun sebaliknya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!