Kumpulan pertama jemaah haji tiba di tanah air

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 280 orang, selamat tiba di KLIA kira-kira jam 9.30 malam Isnin. Foto Bernama
Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 280 orang, selamat tiba di KLIA kira-kira jam 9.30 malam Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 280 orang, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira jam 9.30 malam, menandakan bermulanya operasi haji fasa kedua untuk Musim Haji 1445H/2024M, bagi menyambut kepulangan jemaah haji ke tanah air.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Kumpulan pertama yang terdiri daripada jemaah Kedah dan Kelantan, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) hari yang sama menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251).

Mohd Na'im berkata, operasi haji tahun ini, berjalan dengan lancar dan dapat dilaksanakan dengan tertib dan jayanya.

"Walaupun menghadapi beberapa keadaan yang amat mencabar seperti keadaan cuaca panas terik, namun kesemua para jemaah tetap dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, teratur dan mempamerkan tahap disiplin yang tinggi.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada TH, kerana sekali lagi telah meletakkan sepenuh komitmen dalam menyampaikan perkhidmatan bermutu tinggi dan tatakelola pengurusan yang amat cekap dengan pelbagai penambahbaikan demi kelancaran dan keselesaan ibadah para jemaah negara,” katanya.

Mohd Na'im menyambut ketibaan jemaah haji di KLIA Terminal 1 malam Isnin. Foto Bernama
Mohd Na'im menyambut ketibaan jemaah haji di KLIA Terminal 1 malam Isnin. Foto Bernama

Mohd Na'im berkata, komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan TH dalam mengendalikan operasi haji tahun ini juga terbukti, dengan pengiktirafan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan, buat kali ketiga berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan terima kasih kepada TH, agensi kerajaan, badan korporat, para dhuyufurrahman dan semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung, dalam menjayakan operasi haji kali ini dan semoga amal kebajikan ini mendapat keberkatan di sisi Allah,” katanya.

Mohd Na'im berkata, setakat hari ini, seramai 18 jemaah haji negara, iaitu 13 lelaki dan lima perempuan berusia antara 37 hingga 79 tahun, meninggal dunia di Tanah Suci dengan kebanyakan mereka terkena serangan jantung dan mendapat jangkitan kuman pada darah.

Beliau berkata, daripada 18 jemaah yang meninggal dunia, 10 jemaah sempat berwukuf pada 9 Zulhijah lepas, manakala urusan badal haji bagi baki lapan jemaah yang tidak sempat berwukuf, telah disempurnakan oleh pihak TH tanpa mengenakan sebarang kos tambahan.

Mohd Na'im berkata, pihak TH serta agensi, akan mengadakan pascanilai untuk mengenal pasti aspek penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk musim haji yang akan datang.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata, pengiktirafan Anugerah Labbaittom yang diterima menjadi pemangkin buat TH, untuk sentiasa mencari ruang inovasi dalam menyedia dan memberikan perkhidmatan yang terbaik setiap tahun.

"TH akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara dan membuat penilaian teliti bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi musim haji akan datang.

"Matlamat dan objektif yang digariskan untuk operasi haji kali ini telah berjaya dicapai, antaranya TH telah membantu menyelaraskan supaya hampir kesemua jemaah haji dapat melaksanakan wuquf di Arafah pada 9 Zulhijah dan ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam riwayat At-Tirmizi, haji itu adalah Arafah," katanya.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines, bagi membawa kesemua jemaah haji pulang ke tanah air bermula 24 Jun dan penerbangan terakhir dijadualkan pada 20 Julai. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!