Speedy Tigers uji gergasi hoki dunia
SKUAD hoki negara akan mengasah taring menentang tiga pasukan terbaik dunia yang dalam persediaan untuk ke Sukan Olimpik 2024 di Paris bulan depan.
Aksi persahabatan dengan tiga negara Eropah termasuk Belanda, Belgium dan Jerman itu menjadi pentas terbaik buat skuad Speedy Tigers bimbingan Sarjit Singh untuk membina pasukan mantap.
Malah Sarjit juga mahu para pemain memanfaatkan perlawanan tersebut untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman berharga.
"Ketiga-tiga pasukan itu akan beraksi di pentas tertinggi dunia dan sudah pasti mereka akan melakukan yang terbaik agar momentum itu dapat diteruskan ke saingan sebenar nanti," katanya.
Belanda ketika ini menghuni ranking nombor satu dunia, diikuti Belgium di tangga kedua, manakala Jerman di kedudukan kelima dan Malaysia di tempat ke-12.
Siri jelajah Eropah itu bermula dengan aksi berdepan Belgium pada 1, 3 dan 5 Julai ini, disusuli Jerman (7 dan 9 Julai) serta Belanda pada 12 Julai.
Sarjit turut menyifatkan aksi persahabatan berdepan gergasi hoki dunia itu sebagai saingan yang sangat kompetitif dan percaya pasukan lawan akan menurunkan skuad terkuat.
"Biarpun ini cuma aksi persahabatan, sudah tentu pemain akan dapat corak permainan yang berkualiti.
"Ketiga-tiga pasukan ini dalam proses mencari rentak terbaik untuk bersaing di Paris nanti. Setiap pasukan pasti akan menurunkan barisan terkuat kerana ia platform terakhir untuk mengenal pasti kelemahan pasukan," katanya.
Sebagai rekod, Speedy Tigers menamatkan saingan di tempat keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh Mei lalu, manakala Piala Negara-Negara di Poland pula Malaysia menutup tirai kejohanan di kedudukan ketujuh.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!