Masalah rumah tangga tidak boleh dipandang ringan
DUA kejadian membabitkan pertengkaran antara suami isteri yang berakhir dengan tragis memang mengejutkan kita.
Satu kes membabitkan seorang suami menyerah diri di balai polis selepas membunuh isterinya di bilik sebuah hotel di Batu Gajah.
Kes kedua pula seorang suami dipercayai memukul isterinya selepas ditangkap curang di sebuah hotel di Port Dickson baru-baru ini.
Persoalan yang timbul, mengapakah begitu mudah kita bertukar kasih sayang sehingga menyebabkan kehilangan nyawa seseorang yang pernah menjadi insan istimewa dalam hidup kita.
Nilai apakah yang kita pegang sehinggakan tergamak kita mengambil jalan akhir yang terpilu dalam hidup hanya kerana ingin memuaskan hati semata-mata.
Pelbagai teori psikologi boleh kita berikan, namun yang jelas, sampai masanya kita semua kembali kepada ajaran agama yang menegah umatnya melakukan perbuatan yang sia-sia.
Kejadian yang meruntun jiwa ini jarang sekali kita dengar puluhan tahun lalu, malah masalah rumah tangga juga tidaklah sampai sanggup mengambil nyawa pasangan sendiri.
Tetapi, itu dulu. Dalam dunia moden hari ini, kita berdepan dengan 1,001 kemungkinan sama ada kita bersedia atau tidak.
Kehidupan berumah tangga begitulah adatnya. Ada pasang surutnya. Tapi janganlah sampai amarah melampau sehingga lupa siapa yang kita sakiti.
Lupa janji manis masa bercinta. Lupa habis lafaz lepas nikah, tidak akan menyakiti atau mendatangkan sebarang mudarat kepada tubuh badan isteri.
Suami yang diharap menjadi pelindung akhirnya bersikap bengis dan sanggup angkat tangan kepada isteri.
Benarlah bukan semua suami di Malaysia begitu akhlaknya tetapi berdasarkan dua kejadian yang berlaku itu, ada yang culas tanggungjawab menjaga rumah tangga sehingga sanggup melakukan maksiat dan akhirnya menjadi pembunuh pula.
Sekarang adalah masa untuk bertindak. Peganglah kembali kepada suruhan agama, jagalah keutuhan rumah tangga, kebahagiaan keluarga, satu-satunya harta yang kita ada di dunia ini.
Justeru, antara tindakan awal yang boleh diambil termasuklah mengelak daripada sebarang perlakuan yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam rumah tangga.
Mengambil sikap terbaik, seharusnya mana-mana suami atau isteri boleh mempertimbangkan berkongsi dengan ahli keluarga terdekat jika berdepan masalah dalam rumah tangga.
Jangan simpan sehingga memudaratkan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!