Tangani pengabaian keselamatan makanan

Amalkan langkah keselamatan seperti lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati juadah yang dibeli atau dihidangkan. Gambar hiasan 123RF.
Amalkan langkah keselamatan seperti lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati juadah yang dibeli atau dihidangkan. Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

PADA 10 Jun lalu, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang pelajar Tingkatan Lima dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun akibat keracunan makanan.

Kedua-dua mangsa meninggal dunia dua hari selepas dipercayai makan bihun dan telur goreng tercemar yang dibawa pulang daripada program di sebuah sekolah agama di Sungai Cincin, Gombak.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut memaklumkan 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan berkenaan.

Sebelum itu pada April lalu, 20 pelajar perempuan sekolah menengah di Melaka dilaporkan menerima rawatan selepas disyaki mengalami keracunan makanan disyaki berpunca daripada hidangan nasi goreng di kantin.

Melihat kepada dua situasi yang hampir sama itu dapat dipastikan kurangnya rasa tanggungjawab segelintir penyedia makanan telah membuka ruang untuk berlakunya keracunan makanan.

Sikap tidak peduli terhadap kebersihan persekitaran, peralatan yang digunakan sepanjang proses penyediaan makanan serta pekerja yang terlibat menjadi persoalan.

Bahkan, perkara asas seperti kebersihan tangan selepas menggunakan tandas juga tidak dipedulikan, terutama mereka yang berkecimpung dalam industri makanan.

Sikap acuh tidak acuh itu boleh menyebabkan pencemaran makanan dengan bakteria berbahaya seperti Salmonella dan E-coli.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, penyimpanan dan penyediaan makanan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti tidak disimpan pada suhu betul atau terdedah terlalu lama pada suhu bilik juga boleh mengakibatkan keracunan makanan.

Proses pembersihan dan penyediaan makanan yang salah, ditambah sikap kurang teliti dalam memilih dan menyediakan bahan mentah menambahkan lagi kemungkinan risiko keracunan.

Pihak-pihak terlibat perlu bersikap tegas dan konsisten dalam pengawasan bagi menjamin tahap kebersihan tinggi dapat dipraktikkan di premis penyediaan makanan.

Selain itu penguatkuasaan undang-undang dan peraturan ketat amat penting untuk memastikan semua pihak mematuhi SOP keselamatan makanan.

Di peringkat sekolah pula, pendidikan berterusan mengenai keselamatan makanan termasuk tandatanda awal keracunan perlu diperhebat agar langkah segera boleh diambil sekiranya berlaku simptom melibatkan golongan itu.

Sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan, penyimpanan, penyediaan, penggunaan bahan mentah yang tercemar serta pengendalian makanan secara salah perlu ditangani segera.

Justeru diharapkan dengan usaha bersama dalam rantaian penyediaan makanan sehingga produk akhir mampu menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa keracunan makanan yang boleh menyebabkan maut.

Sementara itu kita sebagai pengguna juga perlu sentiasa mengamalkan sikap perhati dan pilih apabila membeli makanan siap dimasak mahupun bahan mentah.

Kementerian Kesihatan menyarankan orang ramai untuk mengamalkan langkah keselamatan seperti lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati juadah yang dibeli atau dihidangkan.

Tindakan sedemikian bagi memastikan makanan tidak dihinggap bendasing seperti ulat atau najis haiwan dan tidak berlendir, berbuih atau berkulat.

Selain itu gunakan deria rasa seperti hidu untuk memastikan makanan tidak berbau masam, basi atau busuk selain rasa sedikit bagi memastikan ia tidak masam atau basi.

Walaupun ramai antara kita yang tidak mempedulikan langkah keselamatan tersebut, setidaknya perlu sedikit common sense bagi memastikan kita tidak menerima padah akibat hidangan yang rosak.

Bagi mereka yang mahu membeli produk makanan di pasar raya pula, utamakan produk yang mempunyai logo keselamatan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Pilihlah restoran atau gerai makanan yang mempunyai logo pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) kerana tahap kebersihan premis berkenaan lebih terjamin.

Namun yang lebih penting, kita sebagai pengguna bertanggungjawab terhadap setiap tindakan dan pilihan yang dilakukan.

Jadilah pengguna yang bijak, elakkan makanan yang boleh mendatangkan mudarat.

* Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!