TCA: Hishammuddin mahu penjelasan dari Kementerian Pertahanan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu kerajaan terutamanya Kementerian Pertahanan menjelaskan kenapa tiada usaha memantapkan lagi Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) membabitkan Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Menurutnya, ia ekoran teguran dari kerajaan Indonesia yang mengkritik tahap keselamatan perairan Malaysia apabila lima warganegaranya diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Sabah.

Dakwa Hishammuddin lagi, selepas hampir dua tahun Mohamad Sabu menerajui Kementerian Pertahanan, seolah-olah tiada sebarang usaha untuk memperkukuhkan lagi keselamatan di perairan negara terutamanya di Sabah.

“Kalau ya pun tak suka inisiatif (TCA) yang dimulakan Barisan Nasional (BN), beritahulah apa perancangan Pakatan Harapan (PH) untuk perkukuh keselamatan terutama di kawasan perairan Sabah?

“Dah berkali-kali saya tanya, di Parlimen dan media sosial. Tidak pernah dijawab! Sekarang kerajaan Indonesia tanpa berselindung mengecam pasukan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, beliau sentiasa yakin dengan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Markas Angkatan Bersama (MAB).

“Namun menteri mesti bertanggungjawab dan memainkan peranan. Sudah dua hari sejak kerajaan Indonesia kritik pasukan keselamatan kita, masih tidak dimaklumkan bahawa menteri kita telah berjumpa atau menghubungi rakan sejawat di Indonesia untuk menjernihkan keadaan

“Nama Malaysia tercalar di mata dunia!” katanya.

Artikel Berkaitan:

Isnin lalu, Kementerian Luar Negeri Indonesia mengesahkan lima warganya, Arsyad Dahlan, 41, La Baa, 32, Riswanto Hayono, 27, Edi Lawalopo, 53, dan Syarizal Kastamiran, 29, diculik dekat pulau Tambisan, Lahad Datu Sabah.

Kelima-lima mereka bekerja di atas bot nelayan yang didaftarkan di Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!