Jawapan tidak senada Tok Mat, Ahmad Zahid cetus pelbagai reaksi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISU penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) bukan sahaja mencetuskan perang hangat antara pemimpin kerajaan dan pembangkang.

Namun, tindakan itu juga turut tidak dipersetujui segelintir pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan atau lebih tepat lagi menteri Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaharu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin menyanggah kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat dilapor berkata, UMNO mendesak Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) supaya tidak meneruskan jualan pegangan saham dalam MAHB kepada syarikat pro-Israel itu.

Pendirian tersebut disuarakan Tok Mat selaku Timbalan Presiden UMNO ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin pada Ahad.

Selain Tok Mat, Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh juga turut mengkritik pelaburan BlackRock di negara ini.

Tanpa membiarkan isu tersebut terus memberi kesan kepada UMNO, Ahmad Zahid ketika ditemui media selepas merasmikan Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran UiTM Seluruh Malaysia di ibu negara pada Isnin menjelaskan, pendirian parti itu tetap bersama Anwar.

Beliau dalam masa sama turut menegaskan kenyataan yang dikeluarkan Mohamad itu merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili UMNO.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid dalam masa sama menafikan keputusan penjualan saham tersebut tidak dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet seperti yang didakwa.

Perselisihan pendapat antara kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu turut mencetuskan pelbagai tanda tanya.

Pastinya isu mengenai tahap komunikasi antara pimpinan parti itu menjadi persoalan ketika ini apabila kedua-duanya memberi reaksi tidak senada.

Apa pun, menjadi harapan terbesar rakyat untuk melihat kerajaan membuat keputusan yang tepat selari dengan perjuangan Malaysia terhadap kemerdekaan rakyat Palestin selama ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!