Ubah suai kereta seludup petrol

Kereta jenis Proton Saga Iswara yang diubah suai untuk seludup petrol.
Kereta jenis Proton Saga Iswara yang diubah suai untuk seludup petrol.
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan dua penyeludup petrol semasa menyerbu sebuah stesen minyak di sini pada Isnin.

Serbuan sekitar jam 9.30 pagi itu turut berjaya merampas 125 liter petrol dan dua kereta jenis Proton Saga Iswara yang digunakan untuk tujuan penyelewengan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lelaki pertama berusia 40-an mendapati kereta tersebut telah diubahsuai untuk tujuan penyelewengan terbabit.

"Sebanyak 50 liter petrol bernilai RM125 dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan RM5,125 termasuk kenderaan.

"Bagi tangkapan kedua seorang lelaki berusia 20-an juga ditahan bersama kenderaan yang telah diubahsuai," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, sebanyak 75 liter minyak bernilai RM153.75 dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan RM5,153.75 termasuk kenderaan.

Azman memberitahu, kedua-dua suspek disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ujarnya, KPDN Kelantan sentiasa melipat gandakan usaha membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara ini bersama dengan agensi berkaitan sempadan dari masa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa yang sama juga penguat kuasa KPDN terus mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Pemantauan dan Rondaan Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!