Sepanyol selesa merendah diri

No Image Caption
A
A
A

SEPANYOL selesa merendah diri selepas menamatkan saingan Kumpulan B Euro 2024 di Dusselforf, Jerman dengan rekod bersih dan tanpa bolos.

Malah jurulatihnya, Luis de la Fuente mahu para pemain tidak cepat berpuas hati dan kekal tenang di sebalik impian untuk memburu kejuaraan kejohanan berprestij Eropah itu.

Sepanyol menurunkan skuad kedua ketika menumpaskan Albania 1-0 awal pagi Selasa selepas membuka tirai kejohanan dengan membenam Croatia 3-0 dan mengalahkan Itali 1-0.

Keputusan cemerlang itu meletakkan juara tiga kali Eropah tersebut sebagai pilihan utama untuk pergi jauh dan sekali lagi memenangi gelaran.

"Tiada kos untuk memasang impian, tetapi kami enggan dabik dada," ujar de la Fuente.

Dalam aksi itu, gol tunggal pemain Barcelona, Ferran Torres pada minit ke-13 sudah cukup buat Sepanyol mengekalkan rekod bersih tiga kemenangan.

"Semua aksi sukar, tetapi kami tidak dibolosi dan meraih sembilan mata. Kami perlu kekal tenang, tetapi sudah tentu kami memasang impian sejak hari pertama kejohanan," kata de la Fuente.

Pencapaian Sepanyol itu menyamai Itali dalam saingan Euro terakhir tiga tahun lalu apabila mereka juga mengutip tiga mata dan tanpa bolos pada pusingan pertama.

Artikel Berkaitan:

Itali kemudiannya muncul juara kejohanan.

"Masih ada ruang untuk diperbaiki kerana kami ada pemain yang boleh memperagakan prestasi cemerlang.

"Kami tidak mudah berpuas hati. Pemain sangat bermotivasi dan kami boleh perbaiki banyak aspek," ujar de la Fuente.

Sepanyol akan beraksi dalam saingan kalah mati di Cologne pada Isnin, tetapi perlu menunggu untuk mengetahui lawan mereka yang menduduki tangga ketiga terbaik daripada peringkat kumpulan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!