WHO tangguh isytihar PHEIC

Tedros Adhanom Ghebreyesus
Tedros Adhanom Ghebreyesus
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menangguhkan langkah untuk mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam dengan Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) selepas penularan wabak seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di China dan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat.

“Saya bersedia membuat pertimbangan berdasarkan kesemua bukti. Ia adalah situasi yang berkembang dan kompleks. Pasukan kami di China sedang bekerjasama dengan pakar dan pegawai tempatan untuk menyiasat penularan wabak tersebut,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Menurutnya, langkah segera diambil Beijing untuk mengekang virus tersebut daripada terus merebak dapat meminimumkan risiko penularan lebih meluas ke negara antarabangsa lain.

Ghebreyesus turut memuji tindakan tegas China yang melaksanakan langkah kuarantin di bandar Wuhan yang merupakan pusat wabak berkenaan.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas agensi antarabangsa terbabit mengadakan mesyuarat panjang bersama panel pakar bebas di Geneva.

Sementara itu, Ketua Program Kecemasan WHO, Mike Ryan berkata, keutamaan sekarang adalah untuk mengenal pasti punca bagaimana virus itu boleh disebarkan antara manusia.

Difahamkan, WHO akan mengadakan pertemuan sekali lagi hari ini bagi memutuskan sama ada langkah mengisytiharkan PHEIC itu perlu dibuat atau tidak.

Jika keputusan itu dibuat, ia merupakan langkah kecemasan global keenam pernah dilaksanakan sejak sedekad lalu. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!