Modrid belum mahu gantung but

Modric. Foto EPA
Modric. Foto EPA
A
A
A

LUKA Modric belum mahu menggantung but ketika Croatia di ambang penyingkiran dari saingan Euro 2024 setelah seri 1-1 dengan Itali dalam aksi terakhir Kumpulan B awal pagi Selasa.

Kapten Croatia berusia 38 tahun itu meletakkan pasukannya di hadapan sebelum Mattia Zaccagni menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Meskipun kecewa, Modric meluahkan hasrat untuk terus berada dalam pasukan selepas membuat 178 penampilan di pentas antarabangsa sejak debut bersama skuad kebangsaan pada 2006.

"Saya ingin terus bermain tetapi mungkin akan sampai pada masanya apabila saya perlu menggantung but. Saya akan terus bermain, tetapi saya tidak tahu berapa lama lagi," ujar Modric yang muncul pemenang Ballon d'Or 2018 ketika Croatia melangkah ke final Piala Dunia di Moscow.

Keputusan itu membolehkan Itali mara ke pusingan kalah mati dan meninggalkan Croatia di tempat ketiga Kumpulan B dengan dua mata.

Ia mungkin tidak mencukupi bagi mereka untuk menempah salah satu slot ditawarkan buat empat pasukan terbaik yang berada di tangga ketiga.

Menyentuh mengenai perlawanan, Modric tidak dapat menyembunyikan kekecewaan, meskipun rakan sepasukan sudah memperagakan aksi terbaik.

Beliau berkata, rakan sepasukan sudah berjuang sehingga wisel penamat tetapi malangnya, bola sepak tidak memihak kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ia sangat kejam. Namun ini adalah sebahagian daripada bola sepak. Ia memberikan kamu senyuman, tetapi pada masa lain, ia menyedihkan kamu seperti hari ini (Selasa), tewas biarpun kami sudah di depan.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan apabila kamu kalah seperti ini. Sudah tentu kami perlu bangkit semula.

"Keputusan tidak memihak kepada kami, tetapi perlu bangga dengan apa yang kami sudah lakukan untuk negara," ujar Modric.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!