Imigresen Pahang hantar pulang 72 PATI warga Indonesia
KUANTAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menghantar pulang 72 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal pada Sabtu lalu.
JIM Pahang dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasminya memaklumkan kesemua PATI yang dihantar pulang terdiri 56 lelaki, 14 wanita dan dua kanak-kanak perempuan.
Menurut kenyataan itu, proses penghantaran menggunakan jalan laut melalui Terminal Feri Berjaya Waterfront, Stulang Laut, Johor.
"Kesemua PATI yang dihantar pulang adalah tahanan dari Depot Imigresen Kemayan, Bera yang telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, program pemindahan PATI dikendalikan Depot Imigresen Kemayan itu merupakan sebahagian dari aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh JIM Negeri Pahang.
Terdahulu juga melalui hantaran di Facebooknya, JIM Pahang turut memaklumkan pihaknya menahan 18 PATI kerana disyaki masuk dan bekerja di negara ini secara haram hasil serbuan ke atas beberapa premis sekitar daerah ini, Rabu lalu.
Menurut kenyataan itu, sepanjang operasi Ops Sapu dan Ops Selera itu, seramai 53 individu diperiksa dan 18 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tambah kenyataan itu, PATI yang ditahan berusia 22 hingga 51 tahun terdiri enam warga Myanmar, Bangladesh (5), Pakistan (4), Indonesia (1), Yamen (1) dan Syria (1).
"Serbuan dijalankan pasukan operasi dianggotai 16 pegawai itu dijalankan hasil maklumat awam tentang keberadaan PATI yang disyaki bekerja secara haram.
"Semua tahanan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut," kata kenyataan itu.
JIM Pahang dalam kenyataan itu turut memaklumkan pihaknya juga sedang mengesan pemilik premis terlibat bagi membantu siasatan.
"Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran golongan itu di negeri ini.
"Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada mereka," kata kenyataan itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!