Fahaman 'childfree' bertentangan tujuan utama perkahwinan - Mufti WP
KUALA LUMPUR - Pasangan yang mengambil keputusan tidak mahu mempunyai anak kerana terpengaruh dengan fahaman 'childfree' disifatkan sebagai bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan.
Malah, pasangan yang menjadikannya sebagai gaya hidup terbaik yang bebas daripada sebarang tanggungjawab serta sebagai prinsip hidup yang menafikan fitrah manusia itu juga tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW untuk meramaikan umat Islam yang berkualiti.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah makruh.
"Manakala, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram," kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, kenyataan itu turut memaklumkan mengenai pasangan yang bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak.
"Lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak," katanya.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memaklumkan, perkahwinan dan memiliki anak adalah suatu fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat.
Tambah kenyataan itu, Islam juga tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak.
"Berdasarkan penelitian, pada dasarnya persetujuan antara suami isteri untuk tidak memiliki anak atau 'childfree' adalah diharuskan sekiranya terdapat kemaslahatan khusus buat pasangan tersebut.
"Pilihan ini mestilah mendapat persetujuan bersama kerana memiliki anak merupakan hak bagi setiap individu yang berpasangan," katanya.
Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin untuk membuat perancangan keluarga bahawa kehadiran anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan.
"Bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya.
"Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya," katanya. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!