[VIDEO] BlackRock: Soal keselamatan negara tidak berbangkit sama sekali
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Soal keselamatan negara susulan penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) tidak berbangkit sama sekali berikutan ia masih di bawah tanggungjawab kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain faktor keselamatan, jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif MAHB selaku pengurusan tertinggi juga kekal dipegang oleh rakyat Malaysia.
“Keselamatan tanggungjawab kerajaan, pengerusi syarikat dan ketua pegawai eksekutif masih rakyat Malaysia, itu syarat-syarat yang ditekankan. Ini berbeza (dengan menjual saham kepada syarikat asing).
“Siapa yang ajar cerita penjualan ini? Soal penjualan MAHB tidak berbangkit sama sekali kerana milik kerajaan (berdasarkan saham) dari 41 ke 70 peratus,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).
Dalam pada itu, ujar Anwar, kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam sebarang prosedur melibatkan perubahan struktur MAHB.
“Dari pendirian kita, tidak ada perubahan dari segi struktur yang berlebihan.
“Apa yang berlaku sekarang, adalah proses itu sedang diteruskan dan bagi pendapat saya dan pendirian kerajaan, kita tidak mahu menganggu proses ini dari diteruskan kerana ia berbeza dengan syarikat milik Israel.
“Jangan lupa pada tahun 2021 atau 2022, syarikat milik Israel masih operasi di Malaysia. Tahun 2023 kita batalkan semua kepentingan syarikat Israel dan arahan ini yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri iaitu tidak diizinkan mana-mana syarikat Israel beroperasi di Malaysia,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!