[VIDEO] Lelaki didakwa curang tak mengaku pukul isteri

A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang videonya tular memukul isterinya selepas didakwa curang di sebuah hotel dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.

Tertuduh, Mohd Ridwan Mat Nasir, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai juruteknik pada 24 Mei 2024, jam lebih kurang 9.50 pagi di sebuah hotel di Port Dickson telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya yang berusia 38 tahun.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 352A Kanun Keseksaan.

Mohd Riduan diiring polis di mahkamah
Mohd Riduan diiring polis di mahkamah

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai enam bulan atau dengan denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Asiah Mahmud mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Krishnaveni memohon jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM2,500 dengan alasan dia hanya bekerja sebagai juruteknik.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes 23 Julai ini.

Sebelum ini, polis mengesan video tular di media sosial mengenai seorang lelaki memukul isterinya yang dipercayai baru habis berpantang.

Berdasarkan siasatan polis, kejadian disyaki berlaku disebabkan lelaki terbabit kantoi curang.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa berusia 38 tahun cedera di bahagian pipi dan sakit di beberapa anggota.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!