Malaysia berpotensi jadi bandar tidak berorientasikan kereta - Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mampu menjadi sebuah bandar yang tidak berorientasikan kereta dan menerapkan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, pengangkutan awam di sekitar lembah Klang dinilai sangat baik dan Malaysia dinilai berpotensi keluar dari konsep bandar yang beorientasikan kereta atau 'çar-centric infrastructure.'

Katanya, antara langkah yang diambil bagi merealisasikan perkara tersebut ialah usaha kerajaan dalam mewujudkan akses yang lebih mudah bagi pengguna pengangkutan awam.

Usaha itu, jelas beliau, sedang giat diatasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan ketersambungan yang lebih baik antara lokasi awal pengguna ke destinasi yang dituju.

"Kalau kita tengok di London umpamanya, Datuk Bandar Sadiq Khan banyak beri penekanan kepada zon pelepasan emisi rendah atau Ultra Low Emission Zone (ULEZ) dan corak pembangunan bandar itu berubah.

"Begitu juga di Seoul, Korea Selatan, banyak jalan raya yang diubah menjadi taman-taman yang membolehkan warga kota berjalan.

"Jadi Malaysia juga boleh berubah, cuma memerlukan satu anjakan besar dengan campur tangan dasar daripada pihak berkuasa.

"Sekiranya kesedaran masyarakat juga dapat dipupuk, maka kita dapat mencapai satu perubahan dalam bagaimana kita membangunkan kawasan-kawasan yang ada untuk amalan lestari hijau dilaksanakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dengan kewujudan kawasan-kawasan tersebut juga, ia mampu meminimumkan kesan pulau haba bandar (urban heat island effect) yang mampu menapis pencemaran serta memelihara sumber air.

Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi pada Selasa.

Sebelum ini Nik Nazmi berkata, kerajaan mengulangi komitmen terhadap mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik daripada 25 kepada 70 peratus.

Usaha itu disokong dengan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mewujudkan laluan untuk campuran tenaga, pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan inisiatif peralihan tenaga.

"Bagi mencapai sasaran berkenaan, Malaysia memerlukan pengimbangan teliti trilema tenaga untuk memastikan tenaga yang lestari, selamat dan mampu milik untuk masa hadapan.

"Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) baru-baru ini bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang akan saya pengerusikan.

"Peranan jawatankuasa ini adalah untuk memastikan peralihan Malaysia kepada pembangunan rendah karbon adalah teratur dan menyeluruh," katanya. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!