McDonald’s Malaysia sempurnakan ibadah korban

Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Puan Shamsidar Yahya (kiri) menyerahkan daging korban kepada komuniti Kampung Pasir Baru sempena Aidiladha di Madrasah Al-Syukriah Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia, Puan Shamsidar Yahya (kiri) menyerahkan daging korban kepada komuniti Kampung Pasir Baru sempena Aidiladha di Madrasah Al-Syukriah Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Rangkaian restoran perkhidmatan segera milik 100 peratus orang Islam, McDonald’s Malaysia menzahirkan keprihatinan terhadap komuniti dengan menyumbangkan tujuh ekor lembu bagi tujuan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Daripada jumlah keseluruhan lembu berkenaan, lima ekor daripadanya diserahkan menerusi Program Korban Perdana 2024 anjuran Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang manakala dua ekor lagi diserahkan kepada Madrasah Al-Syukriah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, Hari Raya Aidiladha mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia disambut meriah oleh semua masyarakat yang bersatu untuk bergotong-royong menunaikan ibadah korban.

“Ibadah korban adalah peluang kepada yang berkemampuan untuk menzahirkan keprihatinan kepada komuniti melalui perkongsian rezeki, terutamanya kepada golongan fakir dan miskin.

“Justeru, McDonald’s Malaysia menyertai ibadah ini sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat orang Islam dan kerana ia bertepatan dengan teras syarikat untuk menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti di sekitar lokasi operasi restoran kami,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambah Azmir, penyerahan lembu korban itu merupakan pemberian daripada syarikat itu kepada komuniti khususnya kepada golongan memerlukan sekali gus meringankan beban mereka.

Malah, usaha murni itu katanya dapat mengeratkan lagi tali silaturahim di antara komuniti setempat.

"Tujuh ekor lembu korban sumbangan McDonald's Malaysia membolehkan 49 orang asnaf berkesempatan mengambil bahagian dalam ibadah korban pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Sukarelawan dan warga kerja McDonald’s Malaysia turut sama menyokong dan membantu kariah Madrasah Al-Syukriah dalam sesi gotong-royong pengagihan daging korban,” ujar Azmir.

Santuni komuniti

Selain itu, McDonald’s Malaysia sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyantuni komuniti melalui Program Komuniti McDonald’s dan RMHC.

Sukarelawan McDonald’s Malaysia bersama kariah Madrasah Al-Syukriah berganding baru menyempurnakan gotong-royong korban sempena Aidiladha.
Sukarelawan McDonald’s Malaysia bersama kariah Madrasah Al-Syukriah berganding baru menyempurnakan gotong-royong korban sempena Aidiladha.

Sebelum ini, McDonald’s Malaysia telah menyambut Hari Bapa bersama 100 warga emas di Semenyih, menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama warga Kampung Banting Sabak Bernam selain menyumbangkan moreh ke masjid-masjid serta surau-surau sempena Ramadan.

Pada masa sama, selain melunaskan pembayaran zakat korporat setiap tahun ke institusi zakat negeri-negeri.

Dianggarkan sebanyak 19,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun, merangkumi segenap lapisan masyarakat.

"Usaha menyantuni golongan memerlukan itu bertepatan dengan teras syarikat untuk menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti di sekitar lokasi operasi restoran kami,” jelas Azmir.

Malah, sebagai sebuah syarikat milikan 100 orang Islam, ia selari dengan tuntutan agama yang menekankan amalan tolong-menolong dalam mengerjakan kebajikan sebagai ibadah.