KPDN serbu kilang simpan 73 tong gas tanpa permit

Anggota KPDN memeriksa tong gas LPG di sebuah kilang sarung tangan getah di Tangkak. - Foto KPDN Johor
Anggota KPDN memeriksa tong gas LPG di sebuah kilang sarung tangan getah di Tangkak. - Foto KPDN Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 73 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM3,180 dirampas di sebuah kilang sarung tangan getah di Tangkak, kerana disyaki menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.

Rampasan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Muar, susulan pemeriksaan yang dilakukan pada Isnin.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, daripada pemeriksaan awal yang dilakukan kilang tersebut didapati mengguna dan menyimpan gas petroleum cecair (LPG) untuk tujuan pengoperasian.

"Satu tindakan kes telah dihasilkan ke atas kilang tersebut kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual LPG tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.

"Sebanyak 73 unit tong gas LPG dan beberapa dokumen perniagaan turut disita. Seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pengarah syarikat, berumur lingkungan 40-an turut dipanggil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua–duanya sekali.

Lilis Saslinda berkata, bagi pertubuhan atau perbadanan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: