3rd Force agih lebih 1 tan daging korban kepada fakir miskin
SEMPENA Hari Raya Aidiladha yang disambut meriah baru-baru ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The Third Force (3rd Force) meneruskan agenda tahunan mereka menguruskan program korban sebelum diagihkan kepada fakir miskin.
Pada tahun ini yang memasuki tahun kelapan pelaksanaan program ibadah korban, sebanyak 10 ekor lembu berjaya ditumbangkan melibatkan kira-kira 200 sukarelawan di 10 kawasan di beberapa daerah di negeri Kelantan dan Melaka.
Pengasas 3rd Force, Raja Shamri Raja Husin berkata, antara matlamat utama program tersebut dilaksanakan adalah membantu golongan fakir miskin yang tidak berkemampuan untuk merasai daging korban sesuai dengan pelaksanaan ibadah korban umat Islam.
“Selain itu, program ini juga mengajak dan menggalakkan orang ramai untuk sama-sama berbuat baik sekali gus mengejar saham pahala akhirat.
“Bahagian korban yang disertai orang ramai melibatkan lebih 1,000 kilogram diagihkan sepenuhnya kepada golongan yang layak,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Menurutnya, dia secara peribadinya terkesan apabila mendengar rintihan dan perasaan orang miskin yang menerima daging korban dan bantuan pek makanan.
“Mereka mengucapkan syukur tidak terhingga kepada kita, malah ada yang menyatakan mereka sangat susah dan tiada apa-apa untuk dimakan bersama keluarga.
“3rd Force ingin mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan termasuk agensi kerajaan yang turut sama membantu iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri berkata, slogan ‘Jom jadi orang baik-baik’ menjadi azimat penting buat semua sukarelawan 3rd Force untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Mereka dengan sukarela meletakkan diri di hadapan walaupun penat dan habiskan masa, namun mereka tetap menjalankan kerja kemanusiaan membantu orang-orang yang memerlukan.
“Kami berharap akan terus istiqamah dalam melakukan program ini di samping kerja-kerja amal yang lain bagi bagi memberi manfaat kepada golongan yang susah dan memerlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!