Lelaki maut dalam nahas motosikal, lori
MARAN - Seorang penunggang motosikal yang parah selepas terbabit nahas dengan sebuah lori di Kilometer 44 Jalan Maran-Jengka-Jerantut di sini pada petang Isnin lalu disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Jengka, di sini awal pagi pada Selasa.
Mangsa, Ahmad Akmal Hafiz Azmi, 22, beralamat di Felda Ulu Jempol, Bandar Pusat Jengka dilaporkan meninggal dunia jam 1.40 pagi selepas hampir lapan jam bertarung nyawa.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden, Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kemalangan melibatkan motosikal dan lori membawa muatan buah sawit itu berlaku kira-kira jam 7.15 malam pada Isnin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika lori jenis Daihatsu dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun dalam perjalanan dari arah ladang sawit Ulu Jempol menghala ke Felda Ulu Jempol di sini.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Bandar Jengka menghala ke Maran dipercayai gagal mengelak dan terlanggar bahagian belakang lori yang ketika itu bergerak keluar dari simpang.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsMaran a telah mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut," katanya.
Mohamad Zamri berkata, kira-kira jam 1.40 pagi pada Selasa, pihaknya menerima laporan mangsa disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Jengka semasa menerima rawatan.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!