Kompleks Pasar Besar Meru bakal bertaraf BMW

Noraini (kanan) melakukan simbolik perasmian pada Majlis Pelancaran Kempen EKSA di Kompleks Pasar Besar Meru pada Selasa.
Noraini (kanan) melakukan simbolik perasmian pada Majlis Pelancaran Kempen EKSA di Kompleks Pasar Besar Meru pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berhasrat mewujudkan Kompleks Pasar Besar Meru di sini bertaraf 'Bersih, Menawan dan Mewangi' (BMW).

Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan berkata, usaha itu memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua peniaga bagi memastikan hasrat menjadikan pasar BMW dapat dicapai.

Menurutnya, kewujudan pasar BMW itu diyakini dapat meningkatkan lagi imej dan persepsi positif rakyat terhadap MBDK.

"Waktu itu, kita fikirkan adakah (kompleks) pasar ini boleh dijadikan BMW sedangkan tahap kualiti kebersihan di sini masih rendah.

"Namun, saya yakin dengan kerjasama semua pihak usaha menjadikan pasar BMW ini mampu dicapai," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di Kompleks Pasar Besar Meru pada Selasa.

Noraini berkata, kompleks pasar BMW itu selari dengan imej Klang yang baharu sahaja dimasyhurkan sebagai MBDK.

"Malulah kalau pasar ini tidak bertaraf BMW kerana Klang sudah menjadi Bandaraya Diraja dan saya harap usaha ini dapat ditingkatkan," jelasnya.

Ujar beliau, inisiatif pelaksanaan menjadikan kompleks pasar BMW itu mengambil inisiatif EKSA.

Artikel Berkaitan:

Noraini menjelaskan, EKSA sebenarnya dilaksanakan di agensi atau jabatan kerajaan sebagai usaha menjadikan tempat kerja bersih, tersusun, kemas dan selamat.

"Hasil keberkesanan program EKSA ini, MBDK mahu EKSA dilaksanakan di Kompleks Pasar Besar Meru bagi menambahbaik persekitaran pasar agar lebih kemas, bersih, wangi, selamat dan memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Usaha ini perlu selari dengan peluang untuk membantu peniaga tempatan berniaga di sini," tambahnya.

Mengimbau pembukaan kompleks pasar itu, Noraini berkata, pasar di Klang bermula sebagai gerai-gerai yang terletak di tempat tumpuan orang awam seperti di Pelabuhan, jeti, simpang jalan dan di tepi-tepi jalan yang sibuk.

Bagaimanapun, katanya, kewujudan gerai yang bersepah itu menyukarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjalankan tugas penguatkuasaan dan kebersihan.

"Pihak Majlis telah mengambil inisiatif mewujudkan kompleks pasar bagi menghimpunkan peniaga gerai di satu kawasan bagi memudahkan dan melicinkan tugas penguatkuasaan majlis," katanya.

Tambah beliau, pembinaan kompleks pasar Meru yang menelan belanja sebanyak RM14 juta dibina bagi menggantikan Pasar Besar Klang Utara, Harper Street (Jalan Pasar) yang telah dirobohkan pada tahun 1995.

"Pasar Besar Meru ini telah siap sepenuhnya dibina pada April 1994 dengan menempatkan 900 gerai dan telah beroperasi sepenuhnya pada 16 Ogos 1995 selepas 500 peniaga dari Pasar Klang Utara, Jalan Pasar berpindah ke sini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!