[VIDEO] Lewat buat penyasaran subsidi punca Indeks Daya Saing Dunia Malaysia jatuh

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelewatan pelaksanaan penyasaran subsidi menjadi antara punca kejatuhan Malaysia ke tangga 34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun laporan Indeks Daya Saing Dunia 2024 secara umumnya masih mengekalkan Malaysia sebagai ekonomi yang stabil.

Menurutnya, laporan itu mengambil kira beberapa faktor yang menyumbang kepada kejatuhan Malaysia termasuk prestasi ringgit yang lemah dan unjuran ekonomi selepas pandemik Covid-19.

"Malaysia dikatakan tidak tegas dalam soal perbelanjaan. Dalam keadaan perbelanjaan kita meningkat dan defisit membengkak, kita masih meluluskan beberapa peruntukan tambahan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Kelewatan kita melaksanakan penyasaran juga dianggap sebagai kelemahan.

"Perincian laporan tersebut teguran yang agak keras. Yang menyebabkan kita merosot adalah kerana kelewatan kita, kurang tegas kita dalam pelaksanaan dan penyasaran subsidi," katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Anwar ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama
Anwar ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama

Beliau berkata demikian menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai strategi kerajaan susulan kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga 34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Tambun berkenaan menegaskan, sememangnya ada kelemahan yang harus diperbaiki seperti yang disebut dalam perincian umpamanya mengambil kira tentang unjuran pertumbuhan.

“Seperti mana yang kita tahu unjuran ekonomi kita ketika pasca Covid-19 melonjak naik, dari yang sangat rendah. Jadi prestasi terbabit tentunya lebih rendah berbanding sebelumnya.

“Kedua prestasi ringgit pada 2023, itu sangat lemah dan ini menyebabkan kita merudum ikut istilah rekod tersebut. Ketiga, pengurusan ekonomi kita tidak tegas dalam perbelanjaan,” katanya.

Menurut Anwar, beliau percaya kedudukan ekonomi Malaysia pada tahun ini akan semakin meningkat berdasarkan rekod semasa.

Katanya, untuk memperbaiki pertumbuhan ekonomi bukan hanya menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri sebaliknya tugas semua lapisan pengurusan pentadbiran.

“Ini tanggungjawab keseluruhannya bukan hanya Jemaah Menteri, ketua setiausaha, ketua pengarah dan agensi kerajaan. Saya percaya kalau kita ambil langkah tegas ia boleh melonjak.

“Ikut unjuran kita berdasarkan prestasi suku tahun pertama, kita akan dapat meningkat jauh lebih baik daripada laporan,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!