Tujuh lokasi di Terengganu bakal digazetkan TBAR

Kasemani (kiri) memberi taklimat kepada peniaga berhubung Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024, pada Selasa.
Kasemani (kiri) memberi taklimat kepada peniaga berhubung Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tujuh lokasi dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk digazetkan sebagai kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) di negeri ini sebelum berakhir 2024.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, setakat ini Terengganu mempunyai satu zon TBAR yang diwartakan pada tahun 2018 iaitu di kawasan Batu Buruk, Kuala Terengganu.

"Apabila sudah siap digazetkan kelak, Terengganu akan memiliki lapan zon TBAR di seluruh negeri bertujuan meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat di negeri ini daripada kesan perokok pasif melalui persekitaran yang bebas asap," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani menyatakan kawasan yang dikenal pasti di daerah Kemaman ialah Taman Bandar Chukai manakala daerah Dungun melibatkan Arena Merdeka.

"Di Marang pula melibatkan Pantai Pulau Kekabu, Pasar Awam Kuala Berang bagi Hulu Terengganu manakala Pesisir Pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus.

"Di Setiu pula Kawasan Jeti Pelancongan Merang manakala kawasan Kota Putera Square di Besut," jelasnya.

Katanya, proses pewartaan tersebut mengambil masa yang agak lama kerana memerlukan libat urus pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri serta pemegang taruh yang lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Kasemani menyatakan sejak 2018, JKNT telah mengeluarkan notis sebanyak 7,800 pelbagai kesalahan merokok di TBAR Batu Buruk.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,409 dikenakan kompaun dengan nilai RM1.35 juta.

"JKNT akan terus mempergiatkan pemantauan dan tahap kesedaran orang ramai supaya tidak merokok di kawasan tersebut," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!