Empangan air di Kedah menyusut akibat tanaman padi, domestik

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) melaporkan tiga empangan di negeri ini mengalami penyusutan berbanding 13 Jun lalu.

Menurutnya, kadar empangan air di Empangan Muda menyusut kepada 20.33 peratus berbanding 26.08 peratus manakala Empangan Pedu pula menyusut 52.69 peratus berbanding 56.89 peratus pada tarikh sama.

"Bagi Empangan Ahning, parasnya masih berada di tahap baik iaitu 84.63 peratus dengan penyusutan minimum berbanding dua minggu lalu iaitu 85.16 peratus.

"Penyusutan air berlaku berikutan pelepasan air bagi tujuan pengairan penanaman padi dan bekalan air domestik serta industri melalui Empangan Pedu dan Empangan Ahning," katanya pada Selasa.

Jelas Mada, empangan Muda berfungsi sebagai kolam takungan pengimbang (Water Balancing Reservoir) di mana takungan air akan disalurkan ke Empangan Pedu melalui Terowong Saiong.

Menurutnya, jumlah takungan air bagi ketiga-tiga empangan berkenaan setakat ini adalah 55.20 peratus.

"Sekarang ini kita lihat sudah mula hujan, jadi akan ambil sedikit masa untuk naikkan paras takungan air di empangan.

“Keadaan air di Empangan Pedu terutamanya masih memuaskan dan mencukupi untuk musim tanaman padi bagi musim satu 2024,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai permohonan bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) bagi meningkat paras air di empangan, Mada berkata, pihaknya masih menunggu jawapan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

Pada 13 Jun lalu, media melaporkan agensi tersebut memohon kepada Nadma dan JMM untuk melaksanakan OPA.

Mada berkata, kedudukan terkini takungan semasa air di empangan Muda berada pada paras penyusutan iaitu sebanyak 26.08 peratus namun tidak akan menjejaskan aktiviti penanaman padi dan kegunaan domestik di Kawasan Muda.

Orang ramai diminta tidak panik mengenai berita kedudukan air di empangan Muda berada pada paras bahaya kerana penyusutan takungan air Empangan Muda ini masih berada di dalam keadaan normal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!