Pekerja restoran didakwa sokong, mengaku ahli kumpulan Daesh

Muhammad Muzzammil (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan kumpulan Daesh. Foto Bernama
Muhammad Muzzammil (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan kumpulan Daesh. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tiga pertuduhan berkaitan kumpulan Daesh, iaitu memberi sokongan, memiliki artikel dan video, di samping mengaku menjadi ahli kumpulan pengganas itu, bulan lepas.

Muhammad Muzzammil Mohd Mohlis, 35, mengangguk tanda faham selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan menggunakan aplikasi media sosial, Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah (bahasa arab), di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada jam 4.50 petang, 31 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki artikel-artikel dan video berkaitan Daesh di lokasi, tarikh dan masa yang sama, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengaku keahlian kumpulan Daesh dengan cara melakukan upacara bai’ah dengan pemimpin Daesh, Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pangsapuri di Jalan Cheras di sini pada 10.08 pagi Mei lepas, dan dia didakwa mengikut Seksyen 130J(2)(d) Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh dua bulan untuk pihaknya menyerahkan laporan daripada pakar berhubung barangan berkaitan kumpulan pengganas itu kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Fadzlin Suraya menetapkan sebutan kes pada 29 Ogos ini untuk serahan dokumen berkaitan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!