KPT tekad kekal status penyumbang atlet negara

Mustapha (tengah) menyantuni kontinjen negara yang menggalas cabaran di AUG 2024. Foto Sukan IPT
Mustapha (tengah) menyantuni kontinjen negara yang menggalas cabaran di AUG 2024. Foto Sukan IPT
A
A
A

SUKAN Universiti Dunia (Universiade) dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) sentiasa dilihat pentas terbaik membentuk atlet berprestasi tinggi negara berdaya saing di pentas antarabangsa pada masa depan.

Malah, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited mengekalkan status penyumbang atlet menerusi institusi pengajian tinggi (IPT) di dua temasya itu.

“Ya, seperti yang kita sedia maklum juga universiti merupakan antara sumber dalam melahirkan atlet-atlet pelbagai acara sukan.

“Fokus kita adalah untuk melahirkan atlet-atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga sukan.

“Ini juga secara tidak langsung motivasi kepada generasi muda bahawa universiti tidak hanya menghasilkan atlet cemerlang, tetapi berdaya saing bidang dalam sukan," katanya selepas majlis ramah mesra bersama kontinjen AUG 2024 negara di penginapan atlet di Surabaya.

Sebagai rekod, antara atlet berprestasi tinggi yang mengalas cabaran negara di AUG 2024, adalah jaguh pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi; pemegang rekod kebangsaan 400m, Umar Osman dan ratu trek 400m, Shereen Samson Vallabouy.

Mengulas perkembangan semasa atlet selepas mengadakan kunjungan itu, Mustapha berkata: “Saya yakin sasaran 35 pingat emas serta kedudukan tiga terbaik mampu direalisasikan berdasarkan persiapan rapi dan semangat dipamerkan dalam kalangan atlet pada ketika ini.”

AUG Ubon Ratchathani 2022 yang berlangsung di Thailand sebelum ini Malaysia muncul naib juara di belakang tuan rumah selepas meraih 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!