237 majikan kemuka permohonan sertai projek rintis gaji progresif

Abdul Rahman ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat ke Dua Penggal Ke Tiga Parlimen ke 15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
Abdul Rahman ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat ke Dua Penggal Ke Tiga Parlimen ke 15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 237 majikan di negara ini telah mengemukakan permohonan untuk menyertai projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) sehingga Selasa bagi menambah baik struktur gaji dan upah pekerja sektor swasta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, angka itu membabitkan 32 peratus daripada keseluruhan 732 majikan yang membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif.

Katanya, pelaksanaan projek rintis DGP bermula pada bulan ini hingga Ogos depan dengan sasaran 1,000 majikan mengambil bahagian.

“Sebanyak RM50 juta telah disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan.

“Pembayaran insentif diberi bagi tempoh setahun. Ini bertujuan untuk menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan,” katanya ketika sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang memintanya menjelaskan mengenai status pelaksanaan DGP di peringkat kementerian berkenaan dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman memaklumkan, pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula pada Oktober 2024 apabila majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Pemberian insentif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999.

Artikel Berkaitan:

“Proses pemilihan 1,000 majikan untuk menyertai projek rintis DGP adalah berdasarkan kepada tujuh syarat ditetapkan,” ujarnya.

Abdul Rahman menjelaskan, syarat-syarat berkenaan ialah majikan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau lain-lain pertubuhan, berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta mestilah bukan sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional.

Tegas beliau, tuntutan insentif berkenaan juga hanya kepada pekerja warganegara Malaysia dan menggaji pekerja yang bekerja sepenuh masa di bawah suatu kontrak perkhidmatan.

“Majikan perlu menggaji pekerja yang menerima gaji pokok tidak melebihi had gaji ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan DGP. Bagi projek rintis, had gaji yang ditentukan adalah RM1,500 hingga RM4,999 sebulan.

“Penyertaan dibuka kepada semua sektor kecuali sektor pentadbiran awam dan pertahanan, aktiviti sosial wajib serta aktiviti badan dan pertubuhan luar wilayah.

“Bagi projek rintis, penyertaan dibuka hanya kepada lima sektor iaitu pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, maklumat dan komunikasi serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal,” tambahnya.

Katanya, pengenalan dasar baharu tersebut akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu perintah gaji minimum dan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti.

“Penilaian impak projek rintis akan dibuat pada September 2024 sebelum pelaksanaan DGP secara menyeluruh diputuskan oleh Jemaah Menteri yang dijangka pada Oktober 2024,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!