Konsert Double Trouble 2: Bekas penolong pengurus didakwa minta, terima rasuah

Bekas penolong pengurus sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas. Foto Bernama
Bekas penolong pengurus sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang bekas penolong pengurus sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran ‘Konsert Double Trouble 2’ tahun lalu.

Noorfadhilah Mohd Idris, 37, yang hamil lapan bulan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta suapan RM30,000 daripada seorang lelaki, sebagai upah untuk tertuduh membantu mendapatkan kelulusan Geran Dana Kandungan Digital bagi sebuah syarikat untuk penganjuran konsert tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menerima suapan iaitu cek bernilai RM13,900 daripada akaun bank milik satu lagi syarikat lain, sebagai upah kerana membantu mendapatkan kelulusan geran sama bagi konsert itu.

Kesalaha didakwa dilakukan Ibu Negara dan sebuah bank cawangan di Setapak, Taman Setapak Indah Jaya di sini antara Januari dan 11 September 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan tertuduh diberikan ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan termasuk syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Mohd Zali Shaari yang mewakili tertuduh merayu agar kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya sedang sarat anak ketiga malah kes ini menyebabkan dia tidak lagi dapat bekerja.

"Anak guam saya mempunyai dua anak masing-masing berumur empat dan sembilan tahun.

“Dia kini membantu suaminya yang bekerja sendiri,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Hakim ini menetapkan sebutan semula kes pada 9 Ogos depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!