Kontena terbang: Dalang warga Singapura diberkas

Lelaki warga Singapura dipercayai terlibat dalam kes kontena terbang diberkas SPRM pada Isnin.
Lelaki warga Singapura dipercayai terlibat dalam kes kontena terbang diberkas SPRM pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Singapura ditahan pada Isnin selepas dipercayai merasuah pegawai penguat kuasa sebagai balasan membantu melepaskan barangan yang diimport syarikat miliknya berkaitan kes kontena terbang, baru-baru ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan suspek berumur 40-an itu ditahan kira-kira jam 5 petang ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

"Suspek ditahan selepas dipercayai merasuah pegawai penguat kuasa sebagai balasan membantu melepaskan barang-barang yang diimport oleh syarikat-syarikat milikannya untuk tidak dikenakan bayaran cukai.

"Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa dikenakan perintah reman selama enam hari oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2024.

"Siasatan awal mendapati wang tersebut telah diberikan secara tunai kepada kesemua pegawai penguat kuasa secara tunai.

"Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Artikel Berkaitan:

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

SPRM sebelum ini mengesan lebih 100 syarikat disyaki terbabit sindiket 'kontena terbang' yang merasuah pegawai penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, syarikat berkenaan berperanan sebagai 'forwarding agent' sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!