Tiga kes Inspektor Sheila batal, tiga lagi kekal

Sheila (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Selasa bagi prosiding permohonannya berhubung tiga kes mengugut seorang wanita, menghina fizikal seorang lelaki dan mengaibkan anggota polis bawahan pada Jun tahun lalu.
Sheila (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada Selasa bagi prosiding permohonannya berhubung tiga kes mengugut seorang wanita, menghina fizikal seorang lelaki dan mengaibkan anggota polis bawahan pada Jun tahun lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa membatalkan tiga pertuduhan yang didaftar secara berganda dihadapi Inspektor Sheila bagi kes mengugut seorang wanita, menghina fizikal seorang lelaki dan mengaibkan anggota polis bawahan pada Jun tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali sebulat suara memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan bagi pegawai polis itu, atau nama sebenarnya S Sheila Sharon, 36.

Ketika memutuskan demikian, beliau berkata, terdapat pertuduhan berganda dibuat semasa pertuduhan dikemukakan di Mahkamah Majistret ke atas wanita tersebut.

Menurutnya, rekod kesilapan bertindih itu berlaku di peringkat pendaftaran oleh pihak pegawai penyiasat.

“Setelah menyedari terdapat kesilapan, tindakan telah diambil oleh pihak pendakwaan memohon untuk membatalkan semua pertuduhan yang berganda itu.

“Apa yang berlaku selepas itu, terdapat dua tindakan diambil iaitu rayuan oleh Sheila dan semakan kehakiman daripada pendakwaan atas keputusan majistret, sama ada DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) pertuduhan yang berganda itu.

“Satu lagi keputusan untuk DNA (melepaskan dan membebaskan) tuduhan berganda, yang menimbulkan polemik ini,” katanya yang turut bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Hakim Che Mohd Ruzima ini berkata, Sheila berdepan tiga pertuduhan sama dan prosiding bagi kes itu sedang berjalan di Mahkamah Majistret Selayang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi memperbetulkan keadaan, Mahkamah Rayuan membuat perintah supaya pertuduhan dan prosiding berganda yang wujud di mahkamah rendah dibatalkan.

“Ini bertujuan mengekalkan integriti bagi pertuduhan yang sedang dihadapi tertuduh di Mahkamah Majistret, ketika ini.

“Berdasarkan keputusan itu, kami membenarkan sebahagian daripada kedua-dua rayuan itu, selaras dengan keputusan untuk membatalkan pertuduhan yang berganda terbabit.

“Oleh itu, tidak timbul lagi isu yang disebut iaitu keputusan untuk DNAA atau DNA, pihak-pihak boleh meneruskan kes di Mahkamah Majistret bagi tuduhan yang masih ada (kekal) terhadap tertuduh,” katanya.

Dalam prosiding ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir manakala peguam, M Manoharan hadir bagi pihak Sheila.

Pada 26 Jun 2023, Sheila didakwa mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata; ‘You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu’.

Sheila juga mengaku tidak bersalah menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya.

Dua kes itu dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Oktober tahun sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan keputusan DNAA oleh Mahkamah Majistret Selayang terhadap Sheila daripada tuduhan yang didaftarkan secara berganda itu.

Hakim, Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Sheila kerana pertuduhan itu tidak dibacakan ketika pendakwaan kes.

Bagaimanapun, tertuduh yang tular di media sosial selepas mencetuskan kekecohan di parkir sebuah pusat beli-belah, masih berdepan tiga tuduhan kes jenayah.

Tiga kes itu masih kekal prosiding sebutan di Mahkamah Majistret Selayang ditetapkan pada Khamis ini.