Warga emas hilang ditemukan lemas

Anggota pasukan penyelamat membantu mengangkat mayat mangsa sebelum dihantar ke HoSHAH untuk proses bedah siasat.
Anggota pasukan penyelamat membantu mengangkat mayat mangsa sebelum dihantar ke HoSHAH untuk proses bedah siasat.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang lelaki warga emas yang hilang disyaki terjatuh ke Sungai Semantan berhampiran sebuah kuil di Batu 1, Jalan Karak, Mentakab di sini tengah malam Isnin lalu ditemui lemas di sungai berkenaan pada Selasa.

Mayat mangsa berusia 70 tahun beralamat dari Taman Netas di sini ditemui jam 12.15 tengah hari di lokasi kira-kira 50 meter dari tempat selipar mangsa dijumpai sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kehilangan mangsa dilaporkan anak saudaranya berusia 48 tahun pada hari yang sama.

"Pengadu memaklumkan, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Isnin, dia ternampak bapa saudaranya itu keluar dari rumah.

"Seterusnya, pada jam 7.30 malam dia diberitahu oleh jiran sebelah rumah tentang penemuan dompet dan telefon bimbit milik mangsa di sebuah kuil di Batu 1 Jalan Karak, Mentakab sebelum membuat laporan polis," katanya.

Mazlan berkata, bertindak atas maklumat, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada pagi Selasa untuk mencari mangsa yang disyaki terjatuh ke dalam sungai itu.

"Pencarian dijalankan di lokasi itu berdasarkan penemuan selipar miliknya di tepi sungai.

Artikel Berkaitan:

"Operasi SAR disertai 32 anggota penyelamat terdiri polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR ditamatkan selepas mayat mangsa berjaya ditemui.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!