663 projek rumah terbengkalai bernilai RM57.09 bilion diselamatkan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 663 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai yang nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM57.09 bilion berjaya diselamatkan dalam tempoh tidak sampai dua tahun selepas Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) ditubuhkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perkembangan itu memberi kelegaan kepada seramai 78,554 pembeli rumah terlibat.
“Bagi tempoh 2023 task force KPKT selesaikan 452 projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai yang melibatkan 53,697 unit, dengaan nilai GDV berjumlah RM39.14 bilion.
“Sementara itu, dari Januari hingga 31 Mei lalu, sebanyak 211 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya pulih dengan nilai GDV RM17.28 bilion membabitkan 24,857 unit rumah,” katanya pada sesi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Kor Ming menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai bantuan KPKT terhadap pembeli rumah yang berdepan dengan masalah projek sakit.
Ahli Parlimen Teluk Intan itu menegaskan, kerajaan sekarang juga dalam proses meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesanan) 1966 (Akta 118) bagi menangani kes projek perumahan terbengkalai di negara ini.
“Melalui pindaan ini mana-mana-mana pemaju yang terlibat dalam penipuan akan dilarang keluar negara sama seperti mereka yang (tidak jelaskan) hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, sektor perumahan tidak terjejas dengan penyasaran semula subsidi diesel memandangkan pemaju sejak sekian lama tidak menikmati subsidi bahan api tersebut.
“Semua pihak sedar, sektor komersial tidak menikmati subsidi diesel, dahulu tidak ada sekarang pun tidak ada. Jadi tidak ada impak langsung kepada harga rumah.
“Tetapi kementerian akan pantau supaya tidak berlaku pengambilan untung yang berlebihan,” tambahnya.
Katanya, KPKT juga memberi jaminan akan menyelesaikan isu 24 projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sakit menjelang hujung tahun ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!